BANK Dunia mengekalkan pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 4.6 peratus pada 2019, disokong oleh pertumbuhan kukuh yang berterusan dalam penggunaan swasta dengan keadaan pasaran buruh yang stabil.
Dalam nota hari ini, Bank Dunia berkata sektor luaran yang lemah dijangka berterusan dalam tempoh terdekat, dengan ketidaktentuan yang meningkat dalam persekitaran luaran dan permintaan global yang rendah terhadap produk elektrik dan elektronik mengekang pertumbuhan eksport.
Ekonomi Malaysia berkembang sederhana pada 4.5 peratus dan 4.9 peratus pada dua suku tahun pertama 2019.
Walaupun penggunaan swasta terus berdaya tahan, aktiviti ekonomi secara keseluruhan dipengaruhi oleh pertumbuhan pelaburan yang lebih rendah daripada jangkaan dan permintaan eksport yang lemah.
Bank Dunia berkata aktiviti pelaburan diunjurkan terus rendah pada sepanjang tahun, dengan sektor awam dan swasta terus mengambil pendirian berhati-hati terhadap perbelanjaan modal, katanya.
Katanya kerajaan Malaysia kekal komited kepada pelan penyatuan fiskal, dengan jangkaan yang berterusan mengenai sasaran defisit fiskal sebanyak 3.4 peratus dicapai pada 2019.
“Cadangan penukaran subsidi minyak yang universal kepada pemindahan tunai yang disasarkan kepada kumpulan pendapatan isi rumah 40 peratus terendah telah tertangguh disebabkan halangan pentadbiran. Walaupun inflasi harga pengguna rendah, kebimbangan mengenai peningkatan kos sara hidup terus wujud dalam kalangan rakyat dan kerajaan,” katanya.
Isu-isu utama ialah kekurangan rumah mampu milik, tahap hutang isi rumah, gaji tertunggak dalam beberapa sektor dan inflasi harga makanan yang lebih tinggi daripada purata.
Dasar untuk memudahkan ketersediaan dan pembiayaan perumahan diperluaskan dan program celik kewangan nasional dilancarkan.
Kemiskinan dijangka terus merosot pada 2019, dengan kemerosotan diunjurkan kepada 1.3 peratus berdasarkan garis kemiskinan negara-negara berpendapatan menengah atas (UMIC) Bank Dunia sebanyak AS$5.50 (PPP 2011: Pariti Kuasa Beli) seorang sehari.
Pada pendapatan negara kasar perkapita Malaysia yang tinggi, terutamanya dari segi PPP yang diselaraskan, walaupun garis kemiskinan UMIC berkurangan dan debat awam timbul mengenai sama ada Malaysia perlu meningkatkan garis kemiskinan yang ditakrifkan di peringkat nasional. – Bernama, 10 Oktober, 2019.
Komen