KEMPEN merosakkan nama pegawai awam seperti yang ditujukan kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Dzulkifli Ahmad adalah teruk, kata para aktivis.
Ahli G25 dan bekas penjawat awam Noor Farida Mohd Ariffin merupakan salah seorang yang menyelar taktik kotor yang digunakan untuk merosakkan nama ahli politik atau penjawat awam.
“Tapi pada masa yang sama, orang seperti itu harus berhati-hati dalam kehidupan peribadi mereka supaya diri dan jawatan mereka tidak dijejaskan,” kata Noor Farida kepada The Malaysian Insight.
Klip video yang didakwa memaparkan Dzulkifli yang didakwa mempunyai hubungan sulit dengan isteri orang tersebar menyebabkan Dzulkifli menyalahkan pihak yang tidak selesa dengan penahanan beberapa ahli politik dan penjawat awam berprofil tinggi baru-baru ini.
Satu lagi video yang dikatakan memaparkan Dzulkifli bersama seorang wanita di Bali telah dimuatnaik di YouTube pada Rabu lalu.
Taktik yang sama juga digunakan bagi memusnahkan karier beberapa ahli politik, seperti bekas presiden MCA Dr Chua Soi Lek, iaitu hubungan luar nikahnya didedahkan melalui pita seks.
“Saya fikir orang semakin biasa dengan perkara-perkara semacam ini. Taktik seperti ini sudah menjadi sebahagian daripada politik kita sejak 20 tahun yang lalu,” kata Ibrahim Suffian dari Merdeka Centre.
“Dalam kebanyakan kes, ianya menjejaskan ahli politik. Jarang terjadi ia melibatkan pegawai tinggi.”
Ibrahim berkata, kesan terhadap kerjaya Dzulkifli akan bergantung kepada berapa lama isu ini akan dimainkan di media.
“Lama-kelamaan, hal ini akan berlalu pergi tetapi orang tak akan lupakannya.
Pengurus Sekretariat Bersih 2.0 Mandeep Singh berkata, kempen ini tak harus dibiarkan menjadi norma di Malaysia.
“Walaupun pegawai kerajaan termasuk (dalam) suruhanjaya bebas perlu disemak dan dikaji, perbicaraan melalu media tidak harus dijadikan amalan.
“Persoalan mengenai salah laku etika harus dilaporkan kepada pihak berkuasa yang sepatutnya,” katanya.
Pejabat Peguam Negara Isnin lalu telah menubuhkan satu pasukan khas bagi memantau siasatan polis terhadap tuduhan ke atas Dzulkifli.
Walaupun mengakui orang awam mempunyai hak mengetahui kebenaran, Mandeep berkata perbahasan awam harus fokus kepada aspek tadbir urus dan mengelakkan perbincangan mengenai hal peribadi.
Selasa lau, Dzulkifli berkata beliau tidak akan membenarkan “taktir kotor” ini menghalangnya daripada terus memerangi rasuah, namun tidak mengesah atau menafikan dakwaan hubungan sulit itu.
Wanita yang dikaitkan dengan Dzulkfili telah meluahkan perasaannya di Facebook pada Sabtu lepas, dan berkata dia menanggung segala kesalahan tetapi tidak akan mendedahkan mendedahkan punca sebenar perceraiannya pada bulan lalu.
Dalam postingnya itu juga, dia memohon maaf kepada Dzulkifli dan keluarganya.
Wanita itu dan bekas suaminya turut mengkritik orang ramai di atas sebaran video kerana perkara itu turut mengheret anak-anak mereka.
Video berdurasi tiga minit itu turut menyelitkan gambar keluarganya, termasuk dua anak kecil wanita itu. – 22 Oktober, 2017.
Komen