Pasukan khas ditubuh pantau siasatan ke atas ketua pesuruhjaya SPRM


Peguam Negara Apandi Ali berkata pasukan khas itu dibentuk memandangkan kesungguhan tuduhan itu daripada boleh menjejaskan integriti ketua pesuruhjaya SPRM. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Oktober, 2017.

SIASATAN berhubung dakwaan hubungan sulit membabitkan ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan diteliti oleh pasukan khas yang ditubuh oleh Peguam Negara. 

Peguam Negara Mohamed Apandi Ali berkata pasukan khas dditubuhkan pada 16 Oktober lalu akan memantau dengan teliti siasatan berhubung dakwaan salah laku di bawah Sesyen 498 Kanun Keseksaan dan kesalahan berkaitan lain. 

Seksyen 498 merujuk kepada memikat wanita yang sudah bersuami dengan niat untuk melakukan persetubuhan haram. Sekiranya didapati bersalah tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kdua-duanya sekali. 

“Pasukan petugas itu dibentuk memandangkan kesungguhan tuduhan itu daripada boleh menjejaskan integriti Ketua Pesuruhjaya SPRM,” kata Apandi dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut memberi amaran dan mengingatkan semua pihak agar tidak memberi komen yang boleh menjejaskan siasatan yang sedang berjalan. 

“Kami akan memastikan bahawa penyiasatan tidak akan menggalakkan pemberi maklumat atau saksi yang tidak berwibawa daripada datang ke hadapan untuk membantu siasatan.

“Ini bagi memastikan kebenaran akan terungkai,” kata Apandi dan menambah ia sejajar dengan amalan terbaik semasa pendakwaan.

Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun sebelum ini mengumumkan pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan terhadap ketua pesuruhjaya SPRM.

“Siasatan masih lagi diteruskan. Kami dalam proses untuk mendapatkan fakta. Sekiranya perlu, tangkapan akan dibuat,” katanya. 

Apandi berkata Jabatan Peguam Negara menerima banyak pertanyaan daripada awam berhubung laporan yang dibuat terhadap ketua pesuruhjaya SPRM.

Beliau turut memberi jaminan kepada masyarakat awam bahawa dalam kapasitinya sebagai pendakwa raya awam, beliau akan menjalankan budi bicaranya dalam perkara ini dengan bijak dan mengikut undang-undang.

“Jabatan Peguam Negara teguh dalam menegakkan keadilan dan kedaulatan undang-undang,” kata Apandi. 

Kenyataan Peguam Negara dibuat beberapa jam selepas The Malaysian Insight melaporkan video yang menunjukkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad dan seorang wanita yang sudah berkahwin berpegangan tangan dan menuju ke sebuah restoran di Bali, Indonesia. 

Video berdurasi satu minit 40 saat itu dimuat naik di laman perkongsian video Youtube semalam dengan pautan ke blog yang mempunyai posting dengan dakwaan pembabitan pemimpin Umno untuk melindungi hubungan sulit Dzulkifli.

Tuduhan hubungan sulit itu timbul minggu lalu selepas seorang eksekutif jualan membuat laporan polis berhubung video yang dimuat naik ke Youtube. 

Wanita yang turut dikaitkan dengan tuduhan itu sebelum ini berkata dia akan menerima kesalahan itu namun tidak akan mendedahkan punca perceraiannya. Dia juga berkata dia kini dalam tekanan untuk membersihkan semula namanya. 

Wanita berkenaan juga turut memohn maaf kepada Dzulkifli dan keluarganya menerusi satu posting di Facebook. 

Dzulkifli mula bersuara pada Selasa dan berkata beliau tidak akan benarkan “taktik kotor” menjejaskan usahanya untuk menentang rasuah.

Dzulkifli berkata, serangan itu adalah berikutan pendekatan agresif oleh SPRM sejak awal tahun ini dalam menyelesaikan kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa. 

“Taktik kotor ini adalah untuk mencemarkan imej dan reputasi saya sebagai ketua pesuruhjaya  SPRM dan menjatuhkan kredibiliti SPRM dalam usaha kami untuk memastikan negara ini bebas daripada rasuah dan penyalahgunaan kuasa,” katanya tanpa mengulas lanjut berhubung taktik kotor itu. 

Katanya, beliau tidak akan tunduk kepada serangan sebegitu dan akan terus berjuang menentang rasuah. – 19 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen