SAYA menjadi mangsa berita palsu dan buli siber, kata isteri Perdana Menteri Najib Razak, Rosmah Mansor.
“Ada beberapa akaun Facebook yang dibuat atas nama saya sedangkan saya sebenarnya tak ada akaun media sosial dan tak mahir tentang media sosial.
“Telefon pintar pun saya tak ada,” kata Rosmah pada seminar mengenai jenayah siber di Hotel Royale Chulan di Kuala Lumpur tadi.
Beliau berkata mereka yang menyebarkan berita palsu bertujuan untuk mewujudkan konflik dan perbalahan di Malaysia.
Ketika negara sedang menuju ke arah menjadi “masyarakat berfikir”, Rosmah berkata rakyat Malaysia perlu pandai menilai dan tidak terpengaruh dengan mereka yang menggunakan media sosial untuk timbulkan kekeliruan dan meracuni minda.
Mengenai buli siber, beliau berkata satu daripada empat kanak-kanak mengalami buli siber setiap hari. Ini akan menyebabkan tekanan emosi dan kemarahan, ketakutan, kebimbangan dan kemurungan, katanya.
Tambah Rosmah, orang dewasa termasuk golongan profesional berpendidikan tinggi juga terdedah kepada gejala buli siber.
“Disebabkan malu, ramai yang takut untuk tampil ke depan,” kata Rosmah.
Menurut CyberSecurity Malaysia, iaitu sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, terdapat 379 kes gangguan siber dilaporkan antara Januari dan Jun.
Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) dan CyberSecurity Malaysia menganjurkan seminar “CyberSafe” selama sehari bagi meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan terutamanya kanak-kanak dan wanita di Internet.
Seminar ini adalah susulan kepada Seminar Kebangsaan Jenayah Seksual Kanak-kanak di Pusat Dagangan Dunia Putra pada Mac.
Seminar pada Mac itu membincangkan tentang peningkatan penggunaan telefon pintar, komputer, Internet dan media sosial untuk persediaan seksual (sexual grooming) dan pornografi kanak-kanak.
Dewan Rakyat pada April telah meluluskan Rang Undang-undang Kesalahan Jenayah Terhadap Kanak-kanak bagi melindungi kanak-kanak daripada penderaan seksual. RUU itu berkuatkuasa pada Julai.
Topik yang dibincangkan pada seminar hari ini termasuk ketagihan Internet, undang-undang dan tindak balas dasar ke atas jenayah siber, dan psikologi serta perspektif sosial jenayah siber.
Panel adalah pakar-pakar dari pihak polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Jabatan Peguam Negara dan pakar kaji jenayah.
Turut hadir ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rohani Karim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said, Timbalan Menteri Pendidikan I P. Kamalanathan, Dr Sharifah Hapsah dari NCWO dan ketua pegawai eksekutif CyberSecurity Malaysia. – 22 Oktober, 2017.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan