Saya tidak pecat orang sesuka hati, kata PM


Diyana Ibrahim

Pembangkang mendesak Peguam Negara Tommy Thomas dipecat kerana kes LTTE, desakan yang diperlekeh Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 November, 2019.

DR Mahathir Mohamad enggan melayan desakan pembangkang supaya Peguam Negara Tommy Thomas dipecat kerana mereka tidak puas hati dengan keputusan beliau membatalkan pendakwaan ke atas Adun Seremban Jaya P Gunasekaran berhubung kes Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Perdana menteri itu mengakui ada masanya kerajaan buat silap namun itu bukan bermakna beliau sewenang-wenangnya memecat pegawai kecuali ia melibatkan hal yang sangat serius.

Dr Mahathir dengan nada menyindir sebaliknya berkata jika diberi pilihan, beliau akan memecat pembangkang dan bukan pegawainya.

“Kadang-kadang mereka (pegawai) buat kesilapan. Saya juga ingin memecat beberapa ahli parti pembangkang kerana mereka membuat banyak kesilapan.

“Tetapi kami mempunyai peraturan undang-undang (rule of law) dan kami perlu patuhinya.

“Melainkan sesuatu yang sangat serius berlaku, saya tidak akan pecat seseorang,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Nasional Janji Kerajaan di Putrajaya.

Ketua Pembangkang Ismail Sabri Yaakob hari ini dalam satu sidang media di lobi Parlimen mendesak Dr Mahathir memecat Thomas kerana isu itu.

“Kita blok pembangkang mendesak kerajaan, pertama, peguam negara beri penjelasan tindakan menarik balik dua pertuduhan terhadap Adun Seremban Jaya yang dikaitkan dengan LTTE.

“Kedua, oleh kerana terlalu banyak kes bertentangan dengam kedaulatan undang-undang, kita harap perdana menteri mengambil tindakan menasihatkan Agong kalau boleh minta supaya peguam negara berundur secara terhormat atau dipecat daripada jawatannya,” katanya.

Thomas dalam penjelasan hari ini berkata pertuduhan tambahan terhadap Gunasekaran dibatalkan kerana tidak lagi perlu selepas beliau berdepan tuduhan lain kes LTTE.

Thomas berkata pertuduhan dihadapi Adun DAP sekarang, selepas pembatalan dua pertuduhan itu, sudah memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

Pada masa sama, Dr Mahathir hairan apabila pembangkang dilihat hanya tahu mengkritik kerajaan tapi tidak pula mahu mengkritik pemimpin mereka yang terlibat dengan rasuah. – 7 November, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen