Tak perlu 'berlebih-lebih' dakwa Adun DAP, kata Tommy Thomas


SM Amin

Peguam Negara Tommy Thomas berkata pertuduhan sedia ada dihadapi P Gunasekaran sudah memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 November, 2019.

DUA pertuduhan tambahan terhadap Adun Seremban Jaya P Gunasekaran dibatalkan kerana tidak lagi diperlukan selepas beliau berdepan tuduhan lain kes berkaitan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), kata Peguam Negara Tommy Thomas.

Thomas berkata pertuduhan dihadapi Adun DAP sekarang, selepas pembatalan dua pertuduhan itu, sudah memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

“Jadi tiada keperluan untuk berlebih-lebihan. Maka dakwaan bahawa semua pertuduhan terhadap Gunasekaran digugurkan adalah satu pembohongan,” katanya dipetik Malaysiakini.

Thomas bagaimanapun menambah, tiada halangan untuk Peguam Negara mendakwanya sekali lagi pada masa akan datang.

“Bagaimanapun tiada yang menghalang kita untuk mendakwanya lagi pada masa akan datang.”

Ketua Pembangkang Ismail Sabri Yaakob hari ini pada sidang media di lobi Parlimen mendesak Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad memecat Thomas kerana isu itu.

“Kita blok pembangkang mendesak kerajaan pertama, peguam negara beri penjelasan tindakan menarik balik dua pertuduhan terhadap Adun Seremban Jaya yang dikaitkan dengan LTTE.

“Kedua, oleh kerana terlalu banyak kes bertentangan dengam kedaulatan undang-undang, kita harap perdana menteri mengambil tindakan menasihatkan Agong kalau boleh minta supaya peguam negara berundur secara terhormat atau dipecat daripada jawatannya,” katanya.

Semalam, Mahkamah Sesyen Seremban membenarkan permohonan pendakwaan untuk membatalkan dua pertuduhan memiliki barangan berkaitan LTTE terhadap Gunasekaran.

Menurut kertas pertuduhan, Adun DAP itu didakwa memiliki bahan berkaitan LTTE di pejabat dan rumahnya di Seremban pada 10 Oktober pada jam 9.58 pagi dan 11.50 pagi.

Hakim Madihah Harullah membenarkan permohonan yang dibuat Timbalan Pendakwa Raya Aslinda Ahad itu.

Pada 29 Oktober lalu, Gunasekaran didakwa di Mahkamah Sesyen Melaka kerana menyokong LTTE dan berdepan pertuduhan tambahan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 31 Oktober.

Gunasekaran tidak hadir di mahkamah semalam, beliau kini ditahan di Penjara Sungai Buloh. – 7 November, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen