MUSTAHIL bekas Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi tidak tahu undang-undang, kata Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin mengulas ceramah Presiden Umno itu semasa berkempen di Tanjung Piai, malam tadi.
Malam tadi, dalam ceramah di Rimba Terjun, Kukup, Zahid mempersoalkan tindakan mahkamah melepas dan membebaskan seorang wanita daripada tuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak di Johor Bahru pada 2017.
“Saya terkejut Zahid Hamidi tak faham sistem undang-undang negara, seorang bekas timbalan perdana menteri, kawan baik saya… tak faham keputusan mahkamah,” kata Muhyiddin kepada wartawan ketika ditemui semasa berkempen di Tanjung Piai, hari ini.
Zahid membayangkan keputusan mahkamah melepas dan membebaskan wanita itu sebagai antara bukti pentadbiran Pakatan Harapan menghakis kedaulatan undang-undang.
Justeru beliau menggesa pengundi di Tanjung Piai supaya memilih Barisan Nasional kerana undi untuk BN, katanya, adalah satu undi menyokong pasukan Polis Di-Raja Malaysia.
“Apabila lapan kanak-kanak main basikal di Johor dilanggar oleh seorang wanita, wanita itu dibebaskan seolah-olah tiada bukti.
“Kanak-kanak itu mati dan jadi arwah. Ini kerajaan double standard,” katanya, seperti dipetik media.
Majistret dalam kes itu bagaimanapun membuat keputusan bahawa tiada sebarang bukti yang boleh mensabitkan wanita itu sekiranya beliau diam tidak membuat apa-apa kenyataan jika dipanggil membela diri.
Mahkamah membuat keputusan antara lain tertuduh memandu dalam keadaan berjaga-jaga, tidak di bawah pengaruh alkohol, tidak menggunakan telefon bimbit dan memakai tali pinggang keledar.
Tertuduh juga tidak boleh diharapkan akan ada kumpulan berbasikal yang ramai di tempat kejadian pada pukul 3 pagi, yang disifatkan sebagai keadaan bahaya yang dicipta sendiri oleh mangsa.
Keputusan mahkamah itu bagaimanapun mengundang komentar berbaur perkauman dan menghasut di media sosial, yang turut menuduh kerajaan Pakatan Harapan sekali lagi mengecewakan orang Melayu dan kononnya mengutamakan orang bukan Melayu.
Sementara itu, peguam Ramkarpal Singh berkata Zahid sepatutnya diheret ke pengadilan kerana menghina mahkamah.
Ahli Parlimen Bukit Gelugor berkata kenyataan Zahid dalam ceramahnya di Tanjung Piai malam tadi mencemarkan maruah, kebebasan dan integriti mahkamah.
Kenyataan Zahid itu membayangkan kerajaan terlibat campur tangan dalam keputusan mahkamah.
“Ini tuduhan serius dan melampaui kritikan yang adil terhadap keputusan majistret. Kritikan itu boleh menyebabkan orang ramai merasakan beliau berat sebelah dan menimbangkan perkara yang tidak sepatutnya semasa membuat keputusan,” kata Ramkarpal.
Peguam itu menyamakan tindakan Zahid sama seperti tindakan peguam Arun Kasi yang dihukum oleh mahkamah kerana kerana mengkritik keputusan mahkamah dengan tidak adil.
Ramkarpal mengingatkan jika kenyataan Zahid dibiarkan tanpa tindakan, ia akan dianggap lazim dan boleh diterima, sedangkan hakikatnya bukan begitu. – 7 November, 2019.
Komen