Undi BN di Tanjung Piai tanda sokong polis, kata Zahid


Mohd Farhan Darwis

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata pentadbiran PH tidak menghormati pasukan polis apabila melepas dan membebaskan dengan mudah beberapa tertuduh kes jenayah yang sudah mereka siasat. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 7 November, 2019.

UNDI untuk Barisan Nasional (BN) di Tanjung Piai minggu depan adalah undi untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), kata Ahmad Zahid Hamidi yang mendakwa pasukan keselamatan itu kini ditekan dan dinafikan hak mereka oleh pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Presiden Umno berkata pentadbiran PH tidak menghormati pasukan polis apabila melepas dan membebaskan dengan mudah beberapa tertuduh kes jenayah yang sudah mereka siasat.

“Kita minta rakyat bersama PDRM. Kita tahu bagaimana PDRM dinafikan maruah dan hak mereka.

“Kenapa saya sebut mengenai polis, bukan ramai sangat pengundi polis di Tanjung Piai, tapi oleh kerana polis ditekan dan dicalarkan maruahnya, kerajaan tak bela nasib mereka. 

“Jika kejayaan (dalam pilihan raya kecil ini) memihak kepada kita, secara langsung kita bela nasib polis dan keluarga mereka di seluruh negara,” kata Zahid.

Beliau mempersoalkan keputusan mahkamah melepas dan membebaskan seorang wanita daripada tuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak di Johor Bahru pada 2017.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut menyebut keputusan Pejabat Peguam Negara semalam membatalkan dua pertuduhan ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seremban Jaya, P Gunasekaran kerana memiliki barangan berkaitan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Sehubungan itu beliau mahu pengundi memilih calon MCA apabila mengundi pada 16 Oktober ini sebagai bukti mereka menolak PH.

Lebih 3,000 orang hadir pada program ceramah perdana bersama Presiden PAS Abdul Hadi Awang di pusat daerah mengundi Rimba Terjun, Kukup, malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 7 November, 2019.

“Rakyat bersama PDRM dan menyokong tindakan PDRM. Tindakan ini merendahkan kebolehan dan kemampuan PDRM sedangkan PDRM jaga semua bangsa dan agama rakyat tanpa mengira parti demi keselamatan negara,” katanya.

Zahid berucap di program ceramah perdana bersama Presiden PAS Abdul Hadi Awang di pusat daerah mengundi Rimba Terjun, Kukup, malam tadi. Ceramah dihadiri lebih 3,000 orang.

Beliau yang juga bekas menteri dalam negeri berkata kerajaan hari ini menggunakan peruntukan undang-undang dengan sesuka hati untuk menekan lawan politik.

“Ini kerajaan pilih kasih, undang- undang dibuat seolah-olah mempertahankan mereka. 

“Undang-undang berat sebelah, digunakan hanya untuk musuh politik mereka di atas pentas ini, terutamanya saya,” katanya, yang sedang berdepan 87 tuduhan jenayah di mahkamah.

“Kalau soal perundangan diketepikan dan hanya untuk kepentingan mereka, pada 16 November ini Wee Jeck Seng menang, ini bermakna kita tolak cara yang mereka lakukan terhadap sistem perundangan di negara ini,” katanya, merujuk kepada calon BN.

Wee, yang juga bekas wakil rakyat Tanjung Piai dua penggal pada 2008 dan 2013, melawan Karmaine Sardini (calon PH), Wendy Subramaniam (Gerakan), Badhrulhisham Abdul Aziz (Berjasa) dan dua calon bebas. – 7 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen