Aktivis pembangkang Kemboja akan ditempat semula ke negara lain


Noel Achariam

Pesuruhjaya Suhakam Jerald Joseph berkata dua aktivis itu akan diproses Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian bagi penempatan sementara di negara lain. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 November, 2019.

DUA aktivis pembangkang Kemboja yang ditahan pihak berkuasa belum dihantar pulang dan dijangka akan ditempatkan semula ke negara lain, kata Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Pesuruhjaya Suhakam Jerald Joseph berkata dua aktivis itu, seorang daripadanya pemohon suaka, kini ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Mereka sedang menunggu untuk diproses Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) bagi penempatan sementara di negara lain,” katanya kepada The Malaysian Insight. 

Dua aktivis itu ditahan pada Isnin malam dan sepatutnya dihantar pulang ke Kemboja pada petang Selasa.

Mereka bagaimanapun tidak jadi dihantar balik selepas Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen menarik balik perintah penghantaran pulang atas rayuan Suhakam.

Laporan Reuters memetik Timbalan Pengarah Human Rights Watch (Asia), Phil Robertson berkata dua yang ditahan ialah anggota Parti Penyelamat Kebangsaan Kemboja (CNRP) yang dibubarkan oleh kerajaan Perdana Menteri Hun Sen dua tahun lalu.

Kumpulan hak asasi manusia Amnesty International pula dipetik berkata penghantaran pulang dua aktivis itu boleh membahayakan mereka.

“Kami menggesa pihak berkuasa membebaskan segera dua aktivis pembangkang ini dan memastikan mereka tidak dihantar pulang ke Kemboja yang akan mendedahkan mereka ditangkap dan ditahan,” kata Amnesty.

Joseph berkata dua pegawai dari bahagian aduan Suhakam melawat kedua-dua aktivis itu pada malam Selasa.

“Mereka (pegawai) mengesahkan tahanan dilayan dengan baik, dan tidak dipaksa untuk beri apa-apa keterangan.”

Joseph berharap UNHCR berjaya mendapatkan negara sementara bagi dua aktivis tersebut.

Kemboja menahan sekurang-kurangnya 48 aktivis pembangkang tahun ini atas dakwaan cuba menggulingkan kerajaan sebelum pengasas CNRP, Sam Rainsy yang hidup dalam buangan pulang ke tanah air, Sabtu ini.

Kerajaan Hun Sen mengerahkan bala tentera berjaga-jaga di sempadan bagi menghadapi pengumuman Rainsy mahu kembali ke Kemboja.

Rainsy melarikan diri ke Perancis empat tahun lalu selepas disabitkan kesalahan memfitnah. Beliau dihukum membayar ganti rugi AS$1 juta dan pada masa sama berdepan hukuman penjara lima tahun untuk satu kes lain.

Beliau sebelum itu menggesa rakyat menggulingkan Hun Sen kerana perdana menteri itu menjadikan Kemboja negara satu parti dan tidak sedia menganjurkan pilihan raya bebas dan adil. – 7 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen