2 aktivis pembangkang Kemboja ditahan di Malaysia, lapor media


Perdana Menteri Kemboja Hun Sen membubarkan Parti Penyelamat Kebangsaan Kemboja, dua tahun lalu. Dua aktivis parti itu ditahan di Malaysia pada Isnin. – Gambar EPA, 7 November, 2019.

PIHAK berkuasa Malaysia menahan dua aktivis pembangkang Kemboja ketika mereka menunggu untuk menaiki pesawat penerbangan ke Thailand, lapor Reuters.

Dua aktivis itu ditahan pada Isnin malam dan sepatutnya dihantar pulang ke Kemboja pada petang Selasa. Seorang daripadanya ialah pemohon suaka.

Mereka bagaimanapun tidak jadi dihantar balik selepas Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen menarik balik perintah penghantaran pulang atas rayuan, kata laporan itu memetik pesuruhjaya hak asasi manusia Jerald Joseph.

“Sekarang ini kami cuba untuk melawat mereka di tahanan serta memastikan kedudukan mereka. Namun kami gembira kementerian tidak jadi menghantar mereka pulang. Saya kira itu satu petanda yang baik,” kata Jerald, seperti dipetik Reuters.

Jerald bagaimanapun berkata pihaknya tidak tahu kenapa perintah penghantaran pulang dikeluarkan.

Agensi itu menyifatkan penahanan ini tindakan menyapu penentang kerajaan Kemboja yang hidup dalam buangan di Asia Tenggara.

Laporan sama turut memetik timbalan pengarah Human Rights Watch (Asia), Phil Robertson berkata dua yang ditahan ialah anggota Parti Penyelamat Kebangsaan Kemboja (CNRP) yang dibubarkan oleh kerajaan Perdana Menteri Hun Sen dua tahun lalu.

Kumpulan hak asasi manusia Amnesty International pula dipetik berkata penghantaran pulang dua aktivis itu boleh membahayakan mereka.

“Kami menggesa pihak berkuasa membebaskan segera dua aktivis pembangkang ini dan memastikan mereka tidak dihantar pula ke Kemboja yang akan mendedahkan mereka ditangkap dan ditahan,” kata Amnesty.

Menurut Reuters, Kemboja menahan sekurang-kurangnya 48 aktivis pembangkang tahun ini atas dakwaan cuba menggulingkan kerajaan sebelum pengasas CNRP, Sam Rainsy yang hidup dalam buangan pulang ke tanah air, Sabtu ini.

Kerajaan Hun Sen mengerahkan bala tentera berjaga-jaga di sempadan bagi menghadapi pengumuman Rainsy mahu kembali ke Kemboja.

Rainsy melarikan diri ke Perancis empat tahun lalu selepas disabitkan kesalahan memfitnah. Beliau dihukum membayar ganti rugi AS$1 juta dan pada masa sama berdepan hukuman penjara lima tahun untuk satu kes lain.

Beliau sebelum itu menggesa rakyat menggulingkan Hun Sen kerana perdana menteri itu menjadikan Kemboja negara satu parti dan tidak sedia menganjurkan pilihan raya bebas dan adil. – 7 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen