Misi cari mangsa tanah runtuh ditangguhkan


Low Han Shaun

Menurut bomba, operasi itu ditangguhkan kerana faktor keselamatan dan akan disambung pagi esok. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 21 Oktober, 2017.

OPERASI mencari dan menyelamat tanah runtuh di Tanjung Bungah ditangguhkan dan akan disambung pada pagi esok.

Setakat ini, seorang Rohingya dan dua warga Bangladesh dikenalpasti polis dan bomba sebagai tiga mangsa yang terbunuh dalam kejadian itu.

“Operasi mencari dan menyelamat akan ditangguhkan malam ini kerana malam hari dan faktor keselamatan.

“Misi mencari akan diteruskan pada jam 8 pagi esok,” kata Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang Saadon Moktar.

Katanya juga polis dan anggota penguakuasa yang lain akan terus mengawal kawasan itu bagi menghalang orang awam daripada memasuki tempat kejadian kerana ia dianggap masih merbahaya.

“Polis masih akan mengawal kawasan ini dengan agensi lain 24 jam untuk menghalang orang awam masuk.”

Seramai 130 orang menyertai pasukan mencari dan menyelamat yang terdiri daripada polis (25), Jabatan Bomba dan Penyelamat (30), Jabatan Pertahanan Awam (26), Hospital Pulau Pinang (15), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (9), Rela (20), NGO (5).

“Setakat ini anjing pengesan masih tidak dapat apa-apa..kami semakin hampir dengan mangsa, harapnya esok kita boleh jumpa lebih ramai, kami sudah bersihkan 20 hingga 30% runtuhan,” kata Saadon.

Mangsa tanah runtuh itu terdiri daripada seorang warga China, seorang warga Pakistan, seorang rakyat Indonesia, seorang Rohingya dan 9 orang warga Bangladesh. – 21 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen