Tanah runtuh Pulau Pinang, bomba minta orang ramai jauhkan diri


Low Han Shaun

Jabatan Bomba dan Penyelamat meminta orang ramai tidak mendekati kawasan tanah runtuh itu kerana kawasan itu masih tidak selamat. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 21 Oktober, 2017.

JABATAN Bomba dan Penyelamat menggesa orang ramai menghindari kawasan tanah runtuh di Tanjung Bungah yang setakat ini sudah menimbus 14 orang.

Ketua Operasi Bomba Edwin Galan Teruki berkata kawasan itu masih tidak stabil dan sudah ditutup.

“Kawasan ini tidak selamat, saya harap orang awam tak datang ke kawasan ini, saya harap orang ramai akan memberikan kerjasaman supaya operasi boleh dilakukan dengan baik tanpa gangguan dan juga untuk keselamatan anda.

“Kawasan tanah runtuh seluas 400x400 kaki persegi dan setinggi 35 meter, mangsa tertimbus di situ,” katanya kepada wartawan di tapak kejadian hari ini.

Katanya juga operasi menggali sudah dihentikan bagi memberi laluan kepada anjing pengesan melakukan misi mencari dan menyelamat.

“Kami juga membawa 6 ekor anjing dan 4 daripadanya sedang mengesan mangsa sekarang dan kami belum temui apa-apa, misi mencari akan diteruskan..jadi kerja menggali akan dihentikan sementara.

“Kami tak akan berhenti, tetapi kita akan lihat situasinya, jika kita rasa sudah terlalu gelap kami akan berhenti mencari dan teruskan esok pagi,” katanya.

Katanya mereka juga sudah melakukan tinjauan udara dan menghantar lebih banyak anggota menyertai misi mencari dan menyelamat itu.

“Setakat yang dimaklumkan, kami sudah menemui 3 mangsa, dan 11 lagi mangsa sedang dikesan.

“Tiada kesukaran, kita hanya perlu gali dan alihkan tanah, jadi kami sedang buat proses ini dalam beberapa peringkat, supaya tak ganggu struktur tanah lagi.

Katanya, setakat ini terdapat 150 anggota misi mencari dan menyelamat dalam operasi itu.

Sebelum ini, penduduk yang sudah lama menetap di situ pernah menyuarakan kebimbangan kepada kerja-kerja pembinaan di kawasan bukit itu yang menyebabkan hakisan besar tanah.

Kerajaan negeri juga dijangka akan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan berkaitan kes itu minggu depan.

Bomba dijangka akan memberi perkembangan selanjutnya pada jam 7.30 malam. – 21 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen