DR Mahathir Mohamad mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan Shafie Apdal, kenapa sekarang dan bukannya ketika beliau masih dalam Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN).
“Ini kes lama berlaku masa beliau jadi menteri. Kenapa dulu tak siasat, kenapa baru sekarang selidik.
“Sebab dia (Shafie) tentang Najib,” katanya dalam satu ceramah Pakatan Harapan (PH) di luar pejabat Amanah Kedah di Alor Setar, malam tadi.
Dr Mahathir, yang juga pengerusi PH mendakwa SPRM diperalatkan untuk menyerang mereka yang dilihat menentang Perdana Menteri Najib Razak.
Beliau meminta rakyat melihat dan membuat perbandingan cara bagaimana agensi anti rasuah itu menyiasat Shafie dengan cara bagaimana ia mengendalikan kes 1MDB yang melibatkan Najib.
Shafie semalam ditahan reman empat hari sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan RM1.5 bilion dana Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah semasa beliau jadi menteri antara 2009 hingga 2015.
Dr Mahathir berkata kalau dipakai cara Najib menjawab tuduhan salah laku skandal 1MDB dengan mengatakan tidak terlibat, Shafie juga sepatutnya dilepaskan daripada sebarang dakwaan.
Beliau merujuk kenyataan Peguam Negara Mohamed Apandi Ali yang mengesahkan Najib tidak terlibat dalam sebarang salah laku berkaitan wang derma yang masuk ke akaun peribadinya.
“Kalau tak percaya tanya Najib, ini cara baru hakim tanya. Salah ke atau tidak, lepas itu dia jawab, saya tidak salah, dia lepas. Tapi ini undang-undang cuma untuk dia (Najib).
“Patutnya bila Shafie mengaku tidak bersalah, lepaslah dia,” kata Dr Mahathir.
Shafie menegaskan dakwaan penyelewengan di kementeriannya itu sebagai “penyiasatan berpilih” yang bermotifkan politik kerana pilihan raya umum ke-14 sudah dekat.
Shafie dipecat dari kabinet, bersama bekas timbalan perdana menteri Muhyiddin Yassin pada Julai 2015. Mereka mendakwa disingkirkan oleh Najib kerana kuat mengkritik skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Shafie ketika itu naib presiden Umno.
Setahun kemudian, keahliannya dalam Umno digantung pada hari yang sama Muhyiddin dan Mukhriz Mahathir dipecat daripada parti.
Tidak sampai dua minggu digantung, Shafie mengumumkan keluar Umno pada 4 Julai, 2016.
Shafie kemudian ikut sama mengasaskan Parti Warisan Sabah yang ditubuhkan untuk memperjuangkan hak rakyat Sabah dalam Malaysia.
Selain Shafie, siasatan SPRM ini juga melibatkan pemimpin kanan Warisan termasuk naib presiden Peter Anthony dan ketua Pemuda Azis Jamman.
Beberapa ahli keluarga Shafie turut diheret untuk siasatan termasuk dua adik lelakinya, Yusof dan Hamid serta seorang menantu Hamid.
Siasatan SPRM ini melibatkan 350 projek KKLW yang dikeluarkan kepada 60 syarikat antara 2009 hingga 2015, meliputi peruntukan berjumlah RM7.5 bilion. Projek-projek itu adalah bagi tujuan bekalan air dan elektrik serta jalan raya di sembilan daerah di Sabah. – 21 Oktober, 2017.
Komen