Shafie Apdal direman empat hari 


Radzi Razak

Penyokong Shafie Apdal berkumpul di perkarangan mahkamah bagi memberi sokongan kepada pemimpin mereka itu. – Gambar The Malaysian Insight, 20 Oktober, 2017.

SHAFIE Apdal direman empat hari bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan penyelewengan RM1.5 bilion dana persekutuan bagi tujuan pembangunan projek rakyat di Sabah.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Cindy Mc Juce Balitus di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu atas permohonan SPRM.

Polis turut menerima perintah reman enam hari terhadap pegawai media Warisan Amarjit Singh, 47, yang ditahan semalam untuk membantu siasatan kes yang sama. 

Bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu, yang menyambut hari jadinya yang ke-60 hari ini, ditahan oleh agensi anti rasuah malam tadi selepas hadir ke ibu pejabat SPRM di Kota Kinabalu untuk diambil keterangannya.

Majistret Cindy Mc Jude Balitus bagaimanapun mengarahkan Shafie dikembalikan ke Hospital Queen Elizabeth bagi mendapatkan rawatan tambahan masalah kesihatan beliau yang tidak mengizinkan beliau ditahan di lokap SPRM.

Peguam Hamid Ismail berkata mereka akan memfailkan semakan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu Isnin depan.

Bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu ditahan oleh agensi anti rasuah tersebut malam tadi selepas hadir ke ibu pejabat SPRM di Kota Kinabalu untuk diambil keterangannya.

Pegawai media Warisan Amarjit Singh dibawa ke Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu untuk mendapatkan perintah reman. – Gambar The Malaysian Insight, 20 Oktober, 2017.

Shafie dimasukkan ke hospital semalam kerana tekanan darah tinggi. Beliau tiba di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu menaiki ambulans dan kelihatan lemah.

SPRM diwakili Timbalan Pendakwaraya Rustam Anip dan Pegawai Pendakwaraya Faliq Basirudin.

Manakala Shafie diwakili oleh Hamid, Martin Tommy Cedric Chio, Zakaria Abd Jalil dan Loretto Padua Jr.

Isteri Shafie, Shuryani Shuaib yang hadir memberi sokongan bersama anak-anak beliau turut memotong tiga kek hari jadi, dengan 20 lilin setiap satu, simbolik ulang tahun ke 60 suaminya.

Lebih 200 penyokong beliau memakai baju berwarna jingga bersorak di luar pagar mahkamah sejak beliau tiba sambil mengungkap slogan “Sabah Ubah” dan turut menyanyi lagu “Selamat Hari Jadi”.

Mereka turut membawa banner besar bertulis “Selamat Hari Jadi DSSA (Datuk Seri Shafie Apdal)” dan memakai baju bertulis ‘tangkap SO1’ merujuk kepada Ketua Menteri Musa Aman dalam skandal air di negeri itu.

Hujan lebat tidak mematahkan semangat ahli-ahli parti Warisan itu yang terus menyanyi lagu-lagu semangat dan mengadakan rapat umum di taman sebelah Kompleks Mahkamah sehingga Shafie keluar daripada bangunan itu pada jam 5.35 petang tadi. – 20 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen