PROJEK perintis tanaman nanas bagi menambah pendapatan peneroka Felda di Selangor tidak dilaksanakan kerana tanahnya tidak sesuai bagi tanaman itu, kata agensi hari ini.
Dalam satu kenyataan, ibu pejabat Felda menambah yang projek menanam nanas MD2 sebagai tanaman tambahan, juga tidak dimulakan kerana ia tidak menerima kelulusan diperlukan untuk menggunakan tanah peneroka di Felda Sungai Tengi.
Projek itu juga dicadangkan sebelum Felda memulakan Program Pembangunan Peneroka (PPP) pada Julai tahun ini, yang sepatutnya mengawasi projek seperti itu.
PPP sepatutnya mengawasi semua aktiviti ekonomi bagi peneroka untuk mewujudkan ekosistem lengkap bagi semua aktiviti penanaman dan ternakan.
Ini termasuk mengenal pasti lokasi strategik bagi projek untuk memperuntukkan sumber kepada mereka untuk memasarkan hasil, kata agensi itu.
“Bagi projek nanas di Felda Sungai Tengi ia diumumkan oleh Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) sebelum inisiatif PPP ini direncanakan,” kata kenyataan itu.
“Bagaimanapun, setelah ujian tanah dijalankan di Felda Sungai Tengi, didapati tanah kawasan tersebut tidak sesuai bagi tanaman nanas.
“Felda juga tidak memberikan sebarang persetujuan bagi kerjasama ini memandangkan projek yang melibatkan tanah peneroka ini perlu mendapatkan persetujuan mereka terlebih dahulu.”
Dalam laporan The Malaysian Insight pada 28 Oktober, kumpulan Felda mempersoalkan mengapa projek nanas tidak dimulakan walaupun sudah dilancarkan oleh penasihat kerajaan Daim Zainuddin.
Projek itu merupakan satu contoh rancangan RM6 bilion kerajaan Pakatan Harapan untuk memulihkan Felda selepas disalah tadbir oleh kerajaan Barisan Nasional.
Pengerusi LPP Mazlan Aliman berkata lembaga nanas dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani juga bersedia membantu projek nanas Sungai Tengi.
Dalam kenyataan itu, Felda menjelaskan pentadbiran memperuntukkan RM250 juta selama empat tahun untuk inisiatif di bawah PPP.
Projek PPP dilancarkan di penempatan Felda Bukit Rokan untuk menternak arnab dan di Felda Sungai Behrang untuk menanam nanas MD2.
“Felda juga dalam peringkat perbincangan bersama peneraju utama industri makanan tempatan dan antarabangsa bagi memperoleh teknologi terkini yang bersesuaian dan untuk mewujudkan rangkaian pemasaran hasil tanaman.
“Pemerolehan teknologi ini adalah bagi membolehkan penghasilan tanaman dalam tempoh lebih singkat serta produktiviti yang lebih tinggi. Rangkaian pemasaran ini pula akan membolehkan hasil tanaman kelak dapat dipasarkan dengan lebih lancar termasuklah untuk tujuan eksport ke luar negara.”
Sementara itu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali berkata beliau akan mendapatkan penjelasan daripada Felda mengenai kelewatan projek itu.
“Saya akan dapatkan penjelasan mengapa. Sekiranya benar kelewatan projek ini dilaksanakan, saya akan pastikan semua keputusan dibuat mesti diterjemahkan dalam bentuk tindakan,” katanya kepada wakil media di lobi Parlimen.
Felda berada di bawah MEA sementara Azmin pada April membentangkan kertas putih di Dewan Rakyat yang menggariskan rancangan untuk menyelamatkan agensi itu. – 30 Oktober, 2019.
Komen