Projek perintis nanas? Habuk pun tak ada, kata peneroka


Mohd Farhan Darwis

Projek tanaman nanas MD2 dijangka mampu menjana hasil sekitar RM59 juta. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 28 Oktober, 2019.

PROJEK perintis tanaman nanas MD2 seluas 300 ekar di Felda Sungai Tengi masih belum nampak bayang walaupun sudah hampir setahun berlalu sejak diumumkan.

Ia diumumkan penasihat kerajaan Daim Zainuddin sewaktu lawatan ke tanah rancangan itu Disember tahun lalu namun sehingga kini tiada sebarang kemajuan.

Pengerusi Pertubuhan Suara Generasi Kedua Felda Mohammad Stap Othman yang diberikan tanggungjawab menyelaras projek perintis itu juga buntu dengan keadaan itu.

Beliau hairan apabila mengetahui Felda tidak menyediakan dana untuk tanaman tersebut sedangkan ia sudahpun diumumkan kerajaan.

“Apabila kita bangkitkan kepada pengurusan Felda mereka kata tiada dana, sedangkan dalam Kertas Putih Felda sudah dinyatakan ada dana RM250 juta setahun. Mana dana itu pergi?” soalnya.

Peruntukan RM1 bilion untuk empat tahun untuk mengurangkan kebergantungan peneroka kepada hasil sawit itu diumumkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali pada April lalu.

Ia bagi membantu peneroka agar tidak bergantung sepenuhnya kepada kelapa sawit sebagai pendapatan utama, yang harganya merudum ke paras RM300 setan metrik.

Dalam pembentangan itu, Azmin berkata dana itu untuk meningkatkan aktiviti tani dan ternakan menggunakan teknologi pertanian pintar dan agrikultur yang tepat.

Ia bagi membolehkan peneroka menuai hasil tuaian dalam tempoh yang singkat, katanya.

Felda Sungai Tengi diumum sebagai kawasan perintis untuk projek tersebut kerana ladang kelapa sawit di situ sedang menjalani proses tanaman semula.

Mengikut rancangan itu, ruang kosong antara pokok sawit boleh dimanfaatkan dengan menanam nanas jenis MD2 bagi menjana pulangan yang tinggi.

Namun menurut Mohammad Stap, kawasan itu tidak lagi sesuai kerana tanaman semula kelapa sawit sudah mula membesar.

Selain itu, nanas mengambil masa lebih lama – sehingga 14 bulan sebelum dapat dituai. Oleh itu, peneroka mencadangkan tanaman yang mengeluarkan hasil lebih cepat, katanya.

Pengerusi Pertubuhan Suara Generasi Kedua Felda Mohammad Stap Othman melahirkan kehairanan Felda tidak menyediakan dana tanaman nanas sedangkan ia sudah diumumkan kerajaan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 28 Oktober, 2019.

“Kita beri cadangan tanaman jangka pendek dan jangka panjang. Bagi tanaman jangka pendek kita sarankan tanam cili fertigasi dan keledek, nanas MD2 ini projek jangka panjang.

“Nanas akan ditanam di kawasan ladang sementara tunggu kelapa sawit mengeluarkan hasil bila pokok berusia tiga tahun, sebab nanas memerlukan kira-kira 14 bulan sebelum hasil boleh dituai.

“Bagi cili dan keledek, kita rancang setiap peneroka terlibat dibekalkan 2,000 beg (fertigasi) dan dilaksanakan di atas tanah berkeluasan 200 ekar,” katanya.

Mohammad Stap percaya nanas MD2 dapat mengeluarkan hasil yang tinggi, tetapi mereka memerlukan modal awal yang besar sehingga RM20 juta.

Beliau menganggarkan, sekiranya projek itu berjalan, melalui tanaman nanas MD2 sahaja, hasil yang boleh dijana adalah sekitar RM59 juta.

“Nanas MD2 pada harga pasaran bernilai RM5 sebiji. Setiap benih yang dihasilkan boleh dijual RM1.60, setiap pokok boleh keluarkan empat benih.

“Setiap seekar tanah boleh ditanam dengan 18,000 pokok nanas. Bayangkan berapa banyak hasil yang boleh kita jana sekiranya projek berjalan waktu itu,” katanya.

Seterusnya, ia akan dapat dimajukan ke tanah rancangan lain seluruh Malaysia apabila projek perintis berkenaan mula mendapat pulangan daripada tuaian, katanya.

Namun, mereka kecewa kerana Felda seakan-akan mengambil ringan usaha kerajaan untuk membantu peneroka meningkatkan pendapatan mereka.

Malah, usaha agensi kerajaan seperti Lembaga Nanas untuk membantu juga terbantut kerana kerana Felda enggan membenarkan tanah agensi itu digunakan.

“Lembaga Nanas sudah beri komitmen untuk bantu, tetapi kita kena dapatkan persetujuan Felda sebab nak guna tanah mereka,” katanya.

Jelasnya, tanah Felda yang dipohon untuk tanaman tersebut adalah di ruang lapang melibatkan tepi sungai atau rezab sungai.

“Bila kita hantar surat buat permohonan untuk gunakan lima ekar tanah di Felda Sungai Tengi, Felda sampai hari ini senyap, tidak ada jawapan langsung,” katanya lagi.

Malah Felda mengeluarkan surat pekeliling membekukan permohonan bagi menggunakan tanah rezab milik agensi berkenaan, dakwanya.

Mohammad Stap berkata beliau kini berasa malu pada Daim kerana projek berkenaan masih belum menunjukkan kemajuan.

Sekiranya ia berjalan lancar, peneroka bukan sahaja akan mendapat imbuhan bulanan tetapi juga insentif ke atas tuaian.

“Kalau waktu tanam kita bagi imbuhan bulanan RM400 sebulan, jualan hasil nanas kita beri insentif 30% daripada jualan.

“Maknanya, semua peneroka, bukan sahaja mereka yang tanahnya digunakan untuk projek akan dapat hasil,” katanya.

Projek tanaman nanas MD2 dijangka mampu menjana hasil sekitar RM59 juta. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 28 Oktober, 2019.Felda Sungai Tengi diumum sebagai kawasan perintis untuk projek tanaman nanas MD2 kerana ladang kelapa sawitnya sedang menjalani proses tanaman semula. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 28 Oktober, 2019.

“Saya malu dengan Daim. Saya berjumpa beliau dalam satu pogram di Perak, beliau tanya apa status projek, apa saya nak jawab apabila jadi macam ini,” katanya.

Mohammad Stap berkata beliau bagaimanapun akan mencari jalan untuk memastikan projek yang dirancang dengan Lembaga Nanas dapat dilaksanakan demi kebaikan peneroka.

“Kita terpaksa jalan juga, tengoklah mungkin kita gunakan tanah milik Tenaga Nasional Berhad (TNB), kita tumpang tanah di bawah pencawang elektrik, itu sahaja caranya.

“Tapi peneroka rugi, tak semua daripada mereka akan mendapat manfaat projek berbanding projek perintis sebelum ini,” katanya.

Ketua Kampung Felda Sungai Tengi Saad Latib juga memberitahu The Malaysian Insight, tiada sebarang perkembangan terkini status projek perintis itu sejak lawatan Daim.

Menurutnya, beberapa bulan selepas lawatan itu, pihaknya ditemui sekumpulan individu yang mendakwa sebagai perunding projek perintis.

“Mereka kata nak guna 500 ekar tanah. Itu melibatkan kira-kira 50 peneroka, kemudian mereka kata nak lihat kesesuaian tanah dan akan panggil peneroka terlibat untuk diberikan penerangan.

“Tapi sampai hari ini habuk pun tidak ada. Ceritanya tergantung setakat pengumuman Daim masa lawatan beliau,” kata Saad ketika ditemui di pejabatnya di Felda Sungai Tengi.

Kawasan itu mempunyai kira-kira 560 peneroka dengan keluasan 5,600 ekar tanah. Namun tapak untuk pembangunan projek perintis itu pun masih belum dikenalpasti, katanya.

“Jangankan papan tanda, pancang papan tanda pun tidak ada,” katanya. – 28 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen