AKTA Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 akan disemak semula untuk mengambil kira beberapa perubahan yang berlaku dalam negara sejak ia pertama kali digubal, kata Liew Vui Keong.
Menteri yang bertanggungjawab dalam soal undang-undang itu berkata ada banyak perubahan yang berlaku di Malaysia sejak akta itu diperkenalkan hampir sedekad yang lalu.
“Dalam masa sembilan tahun lepas, negara membangun dan keadaan sudah berubah.
“Sudah tentu sekarang ini ada keperluan untuk melihatnya semula dan dibuat pindaan yang selaras dengan keadaan semasa,” katanya, selepas menghadiri forum mengenai perlindungan pemberi maklumat di Kuala Lumpur hari ini.
Forum itu dianjurkan oleh agensi pemantau rasuah Transparency International Malaysia (TI-M).
Presidennya Mohamad Mohan berkata di bawah akta sedia ada orang ramai boleh mendapatkan perlindungan hanya daripada tujuh jabatan antaranya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis, dan kastam.
“Mereka hanya dapat perlindungan sekiranya buat laporan kepada agensi berkenaan. Bagaimana kalau mereka lapor melalui saluran lain misalnya saluran dalaman.
“Akta tidak memberikan perlindungan ke atas saluran dalaman,” katanya.
Jelas beliau Seksyen 6 Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 juga tidak memberikan perlindungan sekiranya pendedahan maklumat itu dilarang di bawah undang-undang lain.
“Ini nampaknya bertentangan dengan semangat melindungi mereka. Itu sebabnya kita percaya akta ini patut dipinda,” katanya.
Baru-baru ini, The Malaysian Insight melaporkan lima pegawai penguatkuasa mendakwa mereka tidak diberikan perlindungan sebagai saksi selepas mendedahkan salah laku dalam agensi mereka sendiri.
Mereka mendakwa dikenakan tindakan dalaman oleh ketua jabatan selepas pendedahan mereka menyebabkan pegawai kanan agensi itu disiasat oleh SPRM.
Liew berkata mereka akan melihat sebarang kekurangan dan kini mengumpul semua maklum balas untuk dibentangkan tahun depan.
“Jabatan hal ehwal undang-undang kami sedang mengkajinya.”
Mengikut Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, pemberi maklumat diberikan kekebalan atau imuniti daripada sebarang tindakan tatatertib dan tindakan mahkamah baik sivil atau jenayah kerana mendedahkan salah laku.
Selain kekebalan daripada tindakan, akta itu juga melindungi maklumat sulit mereka termasuk identiti, pekerjaan, alamat kediaman dan lain-lain.
Akta yang berkuatkuasa sejak 15 Disember 2010 menggalakkan orang ramai daripada semua sektor untuk mendedahkan kegiatan berkaitan rasuah. – 30 Oktober, 2019.
Komen