5 penguatkuasa dedah rasuah tidak diberi perlindungan saksi, kata sumber


Kalidevi Mogan Kumarappa

Di bawah penambahbaikan usaha membanteras rasuah, SPRM melindungi identiti pemberi maklumat mengikut Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Oktober, 2019.

LIMA penguatkuasa di sebuah agensi penguatkuasaan dikenakan tindakan dalaman oleh ketua pengarah jabatan selepas disyaki membocorkan maklumat mengenai salah laku dan rasuah agensi itu, kata sumber.

The Malaysian Insight difahamkan mereka tidak diberikan perlindungan yang sewajarnya mengikut Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 walaupun sudah berdaftar sebagai saksi dengan agensi anti rasuah.

Sumber memberitahu, maklumat daripada lima penguatkuasa itu menyebabkan ketua pengarah agensi berkenaan sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Sebagai balasan, mereka ditukarkan ke dua kawasan pedalaman dalam tempoh setahun. Seorang daripadanya sudah berhenti kerja akibat tekanan,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.

Mereka dipindah keluar dari ibu pejabat di Putrajaya oleh ketua pengarah itu, yang sebelum ini pernah bertugas di SPRM, kerana disyaki menyalurkan maklumat kepada agensi anti rasuah yang menyebabkan beliau disiasat.

Seorang penjawat awam itu ditukarkan ke Melaka dan kemudian ke Rantau Panjang, Kelantan dalam masa setahun. Seorang lagi ditukarkan ke Jeli, Kelantan dan selepas itu ke Bario, Sarawak, juga dalam masa setahun.

Dua lagi pemberi maklumat itu ditukarkan ke Kuala Lumpur sebelum masing-masing dipindahkan ke Sabah dan Perlis.

“Pertukaran mereka ini dilakukan tanpa alasan,” kata sumber.

The Malaysian Insight juga difahamkan ketua pengarah agensi penguatkuasaan itu baru-baru ini memberi amaran kepada seorang daripada lima pegawainya supaya berhenti menyalurkan maklumat kepada SPRM.

Di bawah penambahbaikan usaha membanteras rasuah, SPRM melindungi identiti pemberi maklumat mengikut Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010. Mereka diberikan kekebalan atau imuniti daripada sebarang tindakan tatatertib dan tindakan mahkamah baik sivil atau jenayah kerana mendedahkan salah laku.

Selain kekebalan daripada tindakan, akta itu juga melindungi maklumat sulit mereka termasuk identiti, pekerjaan, alamat kediaman dan lain-lain. Mereka juga dilindungi daripada tindakan yang memudaratkan, misalnya tindak balas daripada pihak yang dilapor.

Akta berkenaan berkuatkuasa sejak 15 Disember 2010.

Sebulan selepas Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad memberi jaminan pemberi maklumat mengenai salah laku rasuah akan dilindungi.

Mereka yang memberi maklumat tidak perlu bimbang atas pendedahan yang dilakukan, kata Dr Mahathir. – 25 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen