Jangan burukkan lagi industri minyak sawit, kata pekebun kecil


Khoo Gek San

Langkah yang diambil India untuk tidak membeli minyak sawit dari Malaysia mendatangkan kebimbangan pekebun kecil kelapa sawit. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Oktober, 2019.

PEKEBUN kecil minyak sawit mendesak Putrajaya agar tidak memburukkan lagi keadaan yang dihadapi mereka dengan mengehadkan pengambilan pekerja asing.

Pemain industri minyak sawit memberitahu The Malaysian Insight yang mereka bergantung kepada pekerja Indonesia untuk bekerja di ladang kerana penduduk tempatan tidak mahu bekerja dalam sektor itu.

Pekebun kecil yang menghasilkan kira-kira satu pertiga dari semua minyak kelapa sawit yang ditanam di Malaysia sudah terbeban dengan harga rendah dan tambah membimbangkan apabila pertubuhan perdagangan di India telah mengambil langkah menggesa ahlinya untuk tidak membeli minyak sawit dari Malaysia.

Mereka berkata cadangan kerajaan untuk membuat tanaman alternatif bagi menambah pendapatan adalah “lebih mudah bercakap dari dilakukan” kerana memerlukan banyak pelaburan dan penyelidikan.

Bagi sesetengah orang, mereka rasa terperangkap dalam industri berkenaan kerana tidak boleh menjual ladang mereka dan berhijrah ke perusahaan lain.

Yeo Soon Huat sudah menggunakan duit simpanannya untuk mengekalkan estetnya akibat kejatuhan harga minyak sawit mentah (MSM) di seluruh dunia dan rancangan untuk boikot membeli minyak sawit di Malaysia membimbangkannya.

“Pengimport minyak sawit terbesar di Malaysia adalah India, jika mereka berhenti membeli, siapa yang akan jual hasil kami?

“Kami belum lihat apa-apa kesan tetapi beri dua atau tiga bulan, bila ada banyak bekalan, harga akan jatuh.

“Saya bergantung kepada duit simpanan untuk terus mengusahakan ladang. Sementara yang lain ada yang ambil pinjaman dari bank. Mereka perlu bayar pinjaman dan membayar gaji pekerja,” katanya.

Data dari Majlis Minyak Sawit Malaysia (Mpoc) menunjukkan India merupakan destinasi eksport terbesar bagi produk minyak sawit Malaysia pada 2018.

India mengimport 2.5 juta tan berbanding pengimport kedua terbesar iaitu 1.86 juta tan dari China.

Antara Januari dan September tahun ini sahaja, Malaysia mengeksport 3.908 juta tan minyak sawit mentah tempatan ke India, China pula berada di tempat kedua sebanyak 1.618 juta tan.

Komen Dr Mahathir baru-baru ini berkenaan Jammu dan Kashmir – wilayah yang sedang bergolak antara India dan Pakistan mencetuskan keberangan India, dengan pengguna media sosial mendesak boikot terhadap semua barangan Malaysia. – 30 Oktober, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen