Industri minyak sawit bimbang dengan ura-ura India mahu boikot


Sheridan Mahavera

Persatuan industri minyak sawit menyuarakan kebimbangan tentang perkembangan terbaru hubungan Malaysia dan India. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Oktober, 2019.

PEMAIN industri minyak sawit bimbang dengan kemungkinan India memboikot komoditi itu kerana negara Asia Selatan itu adalah pelanggan utama minyak makan keluaran Malaysia.

Antara Januari dan September tahun ini sahaja, Malaysia mengeksport 3.908 juta tan minyak sawit mentah (CPO) tempatan ke India, China pula berada di tempat kedua sebanyak 1.618 juta tan, menurut Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC). 

“Kami sangat bimbang dengan cakap-cakap menghentikan import (minyak sawit) di India kerana ia boleh menjejaskan syarikat perladangan serta pekebun kecil,” kata Pengarah Persatuan Pengeluar-Pengeluar Pertanian Tanah Melayu (Mapa) Mohamad Audong.

“Jika cadangan untuk menghentikan import minyak sawit diteruskan (India), kami terpaksa mencari pembeli lain,” kata Mohamad.

Ahli Mapa termasuklah syarikat perladangan utama seperti Sime Darby dan Felda serta pengeluar produk pertanian lain seperti getah, kelapa dan nenas.

“Kami harap perniagaan India tidak membenarkan satu kenyataan menjejaskan hubungan perdagangan berdekad lamanya antara dua negara,” kata Mohamad.

Kemelut itu timbul selepas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengecam dasar India dalam konflik wilayah bergolak Kashmir.

Kenyataan itu mencetuskan kemarahan New Delhi, malah pengguna media sosial negara itu turut mendesak boikot dibuat untuk produk keluaran Malaysia, tanda pagar #BoycottMalaysia juga tular di Twitter.

Kerajaan India dilaporkan dalam perbincangan mengharamkan import beberapa produk dari Malaysia termasuklah minyak sawit.

Awal minggu ini, badan perdagangan minyak sayur utama India, Solvent Extractors’ Association of India (SEAI) menggesa ahlinya menghentikan import CPO dari Malaysia.

Bagaimanapun, kerajaan India dilaporkan mahu menjauhkan diri daripada tindakan SEAI, berkata pentadbiran Narendra Modi tiada kaitan dengan larangan itu.

Menteri Perdagangan India Piyush Global memberitahu akhbar Times of India yang “kerajaan tiada pandangan” tentang keputusan SEAI.

Menurut data MPOC, India adalah negara import utama produk minyak sawit Malaysia pada 2018 dan 2019.

Tahun lepas sahaja, Malaysia mengeksport 16.488 juta tan produk minyak sawit bernilai RM44.7 bilion, menurut data Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade). – 25 Oktober, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen