BARISAN Nasional (BN) setuju mencalonkan semula Wee Jeck Seng bertanding di Tanjung Piai dalam pilihan raya kecil tidak lama lagi, kata sumber parti.
Persetujuan itu dicapai dalam satu pertemuan antara pemimpin parti petang ini melibatkan wakil Umno, MCA dan MIC.
“Pemimpin parti setuju semasa perbincangan itu dan tidak akan ada mesyuarat dewan tertinggi mengenainya. Keputusan ini akan diumumkan esok,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.
Sumber tidak menjelaskan siapa yang akan membuat pengumuman esok, namun dipercayai Pengerusi BN Johor Hasni Mohammad.
Setakat ini, selain Wee, dua lagi calon sudah diumumkan bertanding di Tanjung Piai iaitu Karmaine Sardini mewakili Pakatan Harapan (PH) dan Wendy Subramaniam dari Gerakan.
Wee, 55, mewakili Tanjung Piai selama dua penggal selepas menang pilihan raya umum 2008 dan 2013.
Beliau bagaimanapun gagal mempertahankan kerusi itu dalam pilihan raya umum lalu, kalah kepada calon Bersatu yang mewakili PH, Dr Md Farid Md Rafik.
Kerusi Parlimen Tanjung Piai kosong selepas Farid meninggal dunia pada 21 September lalu.
BN sebelum ini bercadang mengumumkan calonnya semasa pelancaran jentera parti pada Isnin tetapi dibatalkan pada saat akhir.
Hasni mendakwa pembatalan itu kononnya strategi parti untuk mengelirukan PH.
Beberapa penyokong PH kemudian mendakwa BN terpaksa membatalkan pengumuman yang dirancang semalam kerana belum ada kata sepakat antara MCA dan Umno.
Umno sebelum ini menuntut bertanding dengan dakwaan Tanjung Piai kini kawasan majoriti Melayu walaupun ditandingi oleh MCA sejak kerusi itu diwujudkan pada 2003.
Tanjung Piai mempunyai 52,986 pengundi berdaftar, 26,565 di Dun Kukup dan 26,421 di Dun Pekan Nanas, dengan 57% Melayu, 42% Cina dan 1% India.
Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon sebelum ini turut menafikan ada pertelingkahan antara partinya dan Umno berhubung penamaan calon di Tanjung Piai.
Katanya, Dewan Tertinggi BN belum bermesyuarat menentukan calon dan kerana itu tidak diumumkan pada Isnin.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon pada Sabtu ini manakala pengundian pada 16 November.
Komen