Jenazah Pitt Hanif selamat dikebumikan


Mastura Malak

Jenazah Pitt Hanif tiba di rumah ibunya, pelakon Fauziah Nawi di Taman Melati, Setapak, sebaik tiba dari Hospital Kuala Lipis, Pahang, kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi. – Gambar Facebook, 28 Oktober, 2019.

JENAZAH Mohd Firdaus Mohd Hanif, atau Pitt Hanif, 43, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU2, Keramat, Kuala Lumpur kira-kira jam 2 pagi tadi.

Jenazah pengarah filem “Coast Guard” itu yang juga anak kepada pelakon Fauziah Nawi, 66, dibawa ke rumah ibunya di Taman Melati, Setapak, sebaik tiba dari Hospital Kuala Lipis, Pahang, kira-kira jam 12.30 tengah malam selepas bedah siasat.

Jenazah Pitt yang lemas di Sungai Jelai, Kampung Mela, Lipis pada jam 11 pagi kelmarin, ditemui pasukan penyelamat pada jam 4.25 petang semalam.

Pitt yang merupakan anak sulung daripada dua beradik meninggalkan seorang isteri, Farah Ahmad, 42, dan tiga anak berusia di antara tujuh hingga 16 tahun.

Jenazah mangsa ditemui terapung oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Bukit Angin, 500 meter dari lokasi kejadian selepas operasi mencari dan menyelamat masuk hari kedua.

Sabtu lalu, mangsa dilaporkan hilang berhampiran Jambatan Gemunchur di Mela selepas bot fiber dinaikinya bersama rakan, Sham Mokhtar, 38, dipercayai terlanggar tiang jambatan sebelum beliau dihanyutkan arus sungai.

Bagaimanapun, rakannya dilaporkan berjaya berenang menyelamatkan diri dalam kejadian yang berlaku pada jam 1 tengah hari itu.

Pitt dilaporkan dalam fasa terakhir menyiapkan sesi penggambaran filem “Coast Guard” yang memulakan penggambaran sejak lebih dua bulan lalu. – 28 Oktober, 2019.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen