JENAZAH pengarah filem Mohd Firdaus ditemui pada pukul 4.25 petang di Sungai Jelai, Kuala Lipis hari ini.
Firdaus hilang selepas bot gentian kaca yang dinaiki beliau sedang dalam perjalanan memancing berhampiran jambatan Gemunchur di Mela dan terbalik kira-kira pukul 1 tengah hari semalam.
Perahu yang dinaikinya terpecah dua dan beliau yang lebih dikenali sebagai Pitt Hanif dibawa arus sungai yang deras.
Rakan beliau yang turut menaiki bot tersebut bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri.
Pelakon Fauziah Nawi dalam sebuah hantaran Facebook turut mengesahkan penemuan jenazah Firdaus.
“Anak saya Pitt Hanif sudah ditemui dalam keadaan yang sangat elok.
“Saya dimaklumkan oleh adik saya dari tempat kejadian, dan saya ucapkan terima kasih kepada yang mendoakan dan berusaha mencari anak saya.
“Innalillahiwainna ilaihi rajiun, berakhir sudah hidup anak saya di usia 43 tahun,” kata Fauziah Nawi dalam keadaan sebak.
Laporan New Straits Times memetik Ketua Zon Bomba dan Penyelamat Shahrulnizam Nasir yang berkata mayat Firdaus dijumpai terapung kira-kira 500 meter dari tempat beliau kali terakhir dilihat.
Shahrulnizam, yang mengetuai operasi mencari dan menyelamat (SAR), berkata jenazah beliau ditemui pasukan penyelam.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis dan dihantar ke Hospital Lipis untuk bedah siasat.
Pitt Hanif atau nama sebenarnya Mohd Firdaus Mohd Hanif, adalah anak kepada pelakon terkenal Fauziah Nawi.
Beliau difahamkan baharu menyelesaikan penggambaran filem pertama arahannya berjudul ‘Coast Guard’ dan turut dikenali sebagai salah seorang yang terlibat dalam pembikinan filem Lelaki Harapan Dunia dan One Two Jaga. – 27 Oktober, 2019.
Komen