PEMIMPIN PH perlu menghentikan tuduh-menuduh berhubung pengharaman buku komik Inisiatif Jalur dan Laluan, kata Presiden PKR Anwar Ibrahim.
Isu mengenai komik tersebut tidak perlu diperdebatkan lagi, tegasnya selepas menyampaikan satu syarahan di di Georgetown, Pulau Pinang hari ini.
“Isu yang kecil, tidak perlu dipanjangkan. Tuduh-menuduh (antara PH) ini saya tidak setuju. Banyak lagi masalah negara,” kata beliau kepada pemberita.
Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan parti komponen PH yang saling berbalas kenyataan berhubung isu komik tersebut.
Mengulas lanjut, Anwar berkata beliau bagaimanapun tidak melihat perbalahan tersebut sebagai isu besar.
Katanya, beliau juga telah membuat pertemuan bersama beberapa pimpinan utama parti komponen PH berhubung isu berkenaan.
Ia termasuk penasihat DAP Lim Kit Siang, setiausaha organisasinya Anthony Loke, Ketua Armada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution.
‘Tidak ada gaduh-gaduh, hanya libatkan penyokong sikit-sikit saja. Kita dah jelaskan pentingnya DAP, PKR, Amanah dan Bersatu untuk meneruskan agenda PH,” tambah beliau.

Mengenai tindakan KDN merampas 13 naskah komik dan menyerbu Muzium Kebudayaan Komik di Komtar, Pulau Pinang, Anwar menyerahkan hal itu kepada KDN.
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow semalam mengkritik pengharaman buku terbitan Muzium Kebudayaan Komik Asia, sebuah muzium yang mendapat tajaan kerajaan negeri.
Katanya, pengharaman tersebut dibuat secara melulu kerana kerajaan sepatutnya meneliti tujuan sebenar di sebalik penerbitan buku berkenaan.
Beliau turut mempertahankan niat penerbit buku tersebut, bekas anggota DAP Hew Kuan Yau yang turut mengedarkan buku berkenaan ke sekolah-sekolah.
Kementerian Dalam Negeri mewartakan perintah larangan terhadap komik itu yang didapati mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme serta menyebarkan fakta yang salah.
Kementerian Pendidikan juga menegaskan tidak pernah mengeluarkan kebenaran dan kelulusan untuk pengedaran buku komik itu kepada mana-mana institusi pendidikan termasuk sekolah.
Tindakan tersebut dibantah 43 pemimpin dan Adun DAP membantah keputusan berkenaan dan menuduh Menteri Pendidikan Maszlee Malik tunduk kepada tekanan Najib Razak dalam isu berkenaan.
Maszlee bagaimanapun tetap dengan pendiriannya dan menggesa pimpinan DAP mendisiplinkan ahlinya supaya patuh pada keputusan kerajaan melarang edaran komik itu.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng menulis kata pengantar buku tersebut dan turut menghadiri majlis pelancarannya.
Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching juga bergambar dengan Hew sewaktu penceramah DAP kontroversi itu tampil menyerahkan komik tersebut bulan lalu.
Hew minggu lalu mendedahkan buku berkenaan mendapat kelulusan kementerian pendidikan untuk diedarkan ke sekolah-sekolah.

Dalam satu halaman buku itu menunjukkan bekas perdana menteri Najib Razak mentertawakan Dr Mahathir Mohamad dengan dialog “Orang tua itu sedang memalukan (diri) sendiri”.
Turut ditampilkan adalah karikatur isteri Najib, Rosmah Mansor. Watak itu ditonjolkan bersama karikatur seekor kucing yang membuat komen tentang barangan kemas Rosmah.
Selain itu, komik berkenaan juga menampilkan karikatur ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low yang dikehendaki kerana peranannya dalam skandal 1MDB.
Komik berkenaan memaparkan ilustrasi mengaitkan orang Islam dengan kumpulan pengganas.
Semasa lawatan ke China pada April lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menyerahkan komik tersebut kepada Presiden Xi Jinping semasa pertemuan dua hala Malaysia-China.
Pejabat Perdana Menteri bagaimanapun minggu lalu menafikan terlibat dalam penerbitan komik berkenaan dan menjelaskan ia bukan hadiah rasmi kepada Xi.
Komik itu diterbitkan oleh Muzium Kebudayaan dan Komik Asia di Pulau Pinang, hasil kerjasama kuratornya Hew Kuan Yau dengan pelukis tempatan Chong Po Ling.
Kedua-duanya disiasat polis mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.
Hew meletak jawatan minggu ini dalam Majlis Perniagaan Bersama Malaysia China minggu ini ekoran kontroversi berhubung penerbitan komik berkenaan. – 26 Oktober, 2019.
Komen