Fail-fail berkenaan ada kaitan dengan projek yang dikeluarkan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) semasa Shafie menjadi menterinya antara 2009 hingga 2015.
Menurut sumber penyiasat SPRM menyemak sekurang-kurangnya 70 fail yang akan dikemukakan dalam soal siasat ke atas Shafie.
“Ini hanya untuk soal siasat,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.
Shafie, yang genap 60 tahun usianya hari ini, ditangkap malam tadi di Ibu Pejabat SPRM di Kota Kinabalu dan dijangka dibawa ke mahkamah untuk dikenakan perintah tahanan reman bagi membantu siasatan.
Presiden Parti Warisan Sabah itu malam tadi pada awalnya hendak dibawa ke Penjara Kepayan sementara menunggu permohonan bagi perintah reman, hari ini.
Portal berita Borneo Today lewat malam tadi bagaimanapun melaporkan Shafie kemudiannya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth II kerana diserang darah tinggi yang dikhuatiri boleh mengakibatkan serangan jantung.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki malam tadi memaklumkan permohonan reman ke atas Shafie akan dibuat selepas solat Jumaat hari ini.
“Mereka melayannya seperti penjenayah biasa,” kata Timbalan Presiden Warisan Darell Leiking kepada The Malaysian Insight, malam tadi.
“Ini jelas satu tindakan politik yang dikembangkan oleh pihak berkuasa daripada naratif yang tidak berasas terkait dengan beberapa penangkapan sejak kebelakangan ini.”
Siasatan SPRM ini melibatkan 350 projek KKLW yang dikeluarkan antara 2009 hingga 2015, meliputi peruntukan berjumlah RM7.5 bilion, kata SPRM.
Media melaporkan projek itu meliputi 170 projek bekalan air, 163 projek jalan raya dan 17 projek bekalan elektrik di sembilan daerah di Sabah, yang diberikan kepada 60 syarikat.
SPRM dilaporkan sudah menyiasat sekurang-kurangnya 45 individu sepanjang siasatan ini.
Agensi anti rasuah itu sebelum ini menahan Naib Presiden Warisan Peter Anthony bersama seorang ahli perniagaan dan seorang bekas pegawai kanan KKLW, pada 5 Oktober.
SPRM kemudian menahan Ketua Pemuda Warisan Azis Jamman, yang juga anak saudara Shafie. Ia kemudian menahan dua pemimpin Pemuda Umno iaitu Ketua Pemua Umno Tenom Jamawi Jaafar dan Ketua Pemuda Umno Tawau Ariffin Kassim.
Dua adik Shafie, Hamid dan Yusof turut ditahan berasingan sebelum SPRM juga kemudiannya menahan menantu Hamid, Manzur Hussein Awal Khan.
Yusof ditahan reman empat hari sejak Rabu lepas. Hamid dan Manzur Hussein pula dibebaskan daripada tahanan reman semalam.
Dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight, Shafie berkata beliau sudah menjangkakan akan dipanggil oleh SPRM untuk siasatan.
Beliau menyifatkan tumpuan ke atasnya sekarang sebagai kempen untuk mencemarkan namanya dan menjejaskan perjalanan politiknya menjelang PRU14.
Katanya, siasatan SPRM ini adalah “penyiasatan berpilih” dan bermotifkan politik.
Shafie sebelum ini menyatakan kesal atas tindakan SPRM yang turut mengheret dua adik lelakinya serta mereka yang dekat dengannya.
Shafie tiba di Kota Kinabalu kira-kira 3.45 petang semalam dengan penerbangan dari Kuala Lumpur, untuk diambil keterangannya di Ibu Pejabat SPRM. Beliau berada hampir empat jam di pejabat SPRM sebelum ditahan kira-kira 9 malam semalam.
Kepada kira-kira 100 penyokongnya yang menunggu di luar pejabat SPRM itu, Shafie melalui Leiking, menyampaikan pesan supaya mereka mengawal perasaan dengan tidak melakukan tindakan yang dipengaruhi emosi, dan pulang ke rumah.
“Kita mesti patuh kepada undang-undang. Beliau meminta supaya semua ahli dan penyokong Warisan untuk menghormati undang-undang,” kata Leiking yang menyampaikan amanat Shafie itu. – 20 Oktober, 2017.
Komen