GARIS panduan gaji bagi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dirangka untuk dijadikan contoh bagaimana pekerja sektor swasta dibayar gaji dengan adil, kata penasihat ekonomi kepada perdana menteri.
Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan Pakatan Harapan untuk meningkatkan kebajikan pekerja sebagaimana yang disasarkan dalam agenda ekonomi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030).
Pakar ekonomi Dr Muhammed Abdul Khalid berkata, garis panduan pendapatan itu kini sedang dirangka oleh Putrajaya namun beliau enggan menyatakan bila ia akan dilaksanakan.
“Terlalu banyak yang diperoleh CEO dan pengurusan kanan, pendapatan mereka jauh lebih tinggi daripada pekerja berpendapatan rendah dan sederhana,” katanya ketika ditemui selepas forum Belanjawan 2020 di Universiti Malaya.
“Dari segi ekonomi, lebih optimum untuk memberi ganjaran pekerja berpendapatan rendah atau sederhana, kerana biasanya mereka akan menghabiskan wang dan merangsang ekonomi. Mereka akan keluar dan berbelanja.
“CEO yang menerima bayaran tinggi pula tidak berbelanja, mereka lebih berjimat, jadi dari segi pengganda ekonomi, lebih baik berikan lebih banyak kepada golongan berpendaatan rendah berbanding bos besar.
“Kerajaan boleh bermula dengan GLC, untuk mula membayar gaji yang lebih baik kepada pekerja berpendapatan rendah dan menguruskan gaji golongan atasan. Ini berada dalam kawalan kerajaan.
“Garis panduan imbuhan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan sedang disediakan.”

Mengikut buku WKB203, Putrajaya mahu meningkatkan pampasan pekerja (CE) kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) hingga 48% daripada 35.7% - bermakna setiap ringgit yang dijana oleh ekonomi, 48 sen akan disalurkan kepada pekerja.
Negara maju seperti Singapura, Korea Selatan dan Australia mempunyai kadar CE lebih tinggi berbanding Malaysia iaitu masing-masing pada kadar 39.7%, 45.7% dan 47.2%.
Muhammad memberitahu forum itu bahawa pendapatan Malaysia daripada cukai pendapatan lebih rendah berbanding kebanyakan negara maju dan golongan kaya di Malaysia sama ada membayar kadar cukai yang rendah atau tidak mengisytiharkan pendapatan mereka.
Namun setiap tahun, terdapat tekanan dari komuniti perniagaan untuk mengurangkan cukai korporat dan pendapatan.
“Tahun lepas, jumlah BMW dan Mercedes yang kami jual di negara ini adalah kira-kira 25,000 unit. Namun bilangan orang yang mengisytiharkan pendapatan sebanyak RM1 juta atau lebih adalah sekitar 9,800.
“Mereka yang mengisytiharkan pendapatan lebih daripada dua juta adalah hanya 2,000 individu.”
Ketetapan baru untuk menetapkan nombor pengenalan cukai bagi pembelian melebihi RM20,000 juga akan membantu kerajaan memperluaskan kutipan cukai bagi menangkap mereka yang tidak membayar bahagian mereka sewajarnya. – 24 Oktober, 2019.
Komen