KETEGANGAN antara India dan Malaysia perlu diselesaikan secara baik kerana ia melibatan ekonomi negara, kata Anwar Ibrahim.
Presiden PKR berkata demikian ketika mengulas mengenai laporan India sedang mempertimbangkan untuk membuat sekatan perdagangan susulan kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berubung konflik di Jammu dan Kashmir.
Ketegangan memuncak apabila Dr Mahathir membuat kenyataan di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) mengenai konflik di Jammu dan Kashmir - wilayah yang sedang bergolak antara India dan Pakistan.
Ia mencetuskan kemarahan New Delhi, dengan pengguna media sosial di India turut menggesa boikot kepada semua barangan Malaysia. #BoycottMalaysia kini menjadi salah satu trending tertinggi di Twitter.
“Saya rasa kita perlu selesaikannya dengan baik kerana ia penting untuk ekonomi kita,” kata Anwar kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Badan perdagangan sayur terkemuka India Solvent Extractors’ Association (SEA) menasihati ahlinya untuk menghentikan pembelian minyak kelapa sawit Malaysia, dan menggesa agar negara “dihukum” kerana kritikan terhadap kerajaan India.
Semalam, Dr Mahathir berkata beliau tidak akan menarik balik kenyataan yang dibuat mengenai konflik itu.
Anwar yang juga ahli Parlimen Port Dickson berkata, Dr Mahathir merupakan orang yang teguh dengan pandangannya.
“PM Mahathir dikenali sebagai orang yang teguh dengan pandangannya. Beliau mungkin mewakili sentimen beberapa pihak di negara ini,” kata Anwar.
Menteri Industri Utama semalam menggesa SEA India agar tidak menghalang ahlinya mengimport minyak sawit Malaysia berikutan kenyataan berhubung tindakan New Delhi di Kashmir.
Teresa Kok berkata, gesaan kepada ahli-ahlinya untuk mengelak daripada membeli minyak sawit Malaysia “adalah kemunduran utama dalam kerjasama yang sedang berjalan dan hubungan kerja antara Malaysia dan India”.
Terdahulu hari ini, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P. Ramasamy turut menggesa Putrajaya memulihkan hubungannya dengan New Delhi.
Pemimpin DAP itu berkata, Dr Mahathir tidak perlu mohon maaf kepada India, tetapi beberapa langkah positif di pihak kerajaan Malaysia mungkin berpotensi untuk memulihkan hubungan yang semakin terjejas. – 23 Oktober, 2019.
Komen