Putrajaya perlu pulih hubungan dengan New Delhi, kata Ramasamy 


Pemimpin DAP, P. Ramasamy turut mengecam Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad atas kenyataannya terhadap New Delhi.– Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Oktober, 2019.

MALAYSIA perlu memulihkan hubungannya dengan India, kata pemimpin DAP, P. Ramasamy, yang turut mengecam Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad atas kenyataannya terhadap New Delhi.

“Dr Mahathir bukan (Presiden Amerika Syarikat) Donald Trump. Pemimpin AS itu boleh terlepas dengan kenyataan melampau dengan kuasa negaranya. 

“Saya tidak fikir Dr Mahathir perlu mohon maaf kepada India, tetapi beberapa langkah positif di pihak kerajaan Malaysia mungkin berpotensi untuk memulihkan hubungan yang semakin terjejas,” kata timbalan ketua menteri II Pulau Pinang dalam satu kenyataan hari ini. 

Perdana menteri pastinya sedar yang beliau tidak boleh hanya kata apa yang beliau suka pada majlis antarabangsa, kata Ramasamy. 

Pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) di New York bulan lalu, Dr Mahathir menuduh India “menyerang Kashmir dan Jammu” dalam melanggar resolusi PBB di wilayah bergolak itu. 

Kenyataan itu mencetuskan kecaman di media sosial, yang mana pengguna media sosial dan saluran berita India berkempen untuk memboikot Malaysia. 

Di Twitter, #BoycottMalaysia menjadi trending tertinggi. 

India turut dilaporkan mengkaji semula import minyak kelapa sawit dan produk lain dari Malaysia.

Pada Isnin, badan perdagangan terkemuka India Solvent Extractors’ Association menasihati ahlinya untuk menghentikan pembelian minyak kelapa sawit Malaysia, dan menggesa agar negara “dihukum” kerana kritikan terhadap kerajaan India. 

Ramasamy berkata India juga diketahui tidak pernah menyinggung atau mengganggu hal ehwal dalaman negara seperti Malaysia.

“Banyak yang berlaku antara kedua-dua negara, terutamanya dalam hubungan antara manusia dengan manusia.

“Tidak ada sebab mengapa kedua-dua negara mahu menyakiti antara satu sama lain. Tiada keperluan. “

Dr Mahathir berkata beliau tidak akan menarik balik kenyataannya mengenai konflik Kashmir, dan Putrajaya akan mencari jalan untuk menangani gesaan boikot itu.

Malaysia merupakan negara engeluar minyak kelapa sawit kedua terbesar dunia selepas Indonesia. 

India pula merupakan destinasi eksport ketiga terbesar untuk minyak kelapa sawit dan produk berasaskan minyak sawit tahun lalu. – 23 Oktober, 2019.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen