RAMAI keturunan Tamil di Malaysia menyokong Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) atas dasar menyokong perjuangan nasionalis kaum serumpun, dakwa P Ramasamy.
Upacara bacaan doa dan majlis yang dijalankan di Malaysia juga hanyalah untuk memperingati dan bersimpati dengan mangsa perang saudara di Sri Lanka, katanya kepada The Malaysian Insight.
“Majoriti masyarakat India di Malaysia adalah etnik Tamil, lebih kurang 85% dan kebanyakannya beragama Hindu.
“Mereka bersimpati kepada LTTE bukan atas sebab agama Hindu tetapi kerana etnik Tamil dan ada yang menyokong perjuangan nasionalis Tamil sejak sebelum tertubuhnya LTTE pada 1976.
“Malah, upacara doa yang dilakukan bukan di Malaysia sahaja, tetapi di Australia dan beberapa negara Eropah yang mempunyai kaum daripada etnik Tamil,” katanya dalam satu wawancara, baru-baru ini.
Wawancara itu diadakan pada Sabtu, sehari sebelum polis mengesahkan memanggil Ramasamy untuk diambil keterangannya di Bukit Aman.
Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang itu hari ini berada hampir empat jam untuk membantu siasatan polis berhubung dua laporan yang terbit di Malaysia Gazette dan Malaysiakini, yang turut menyentuh soal LTTE.
Pasukan militan LTTE diisytiharkan sebagai pengganas sejak 2014 namun Ramasamy berpendapat kumpulan tersebut tidak sepatutnya dianggap sedemikian.
Ramasamy juga yakin kesemua yang hadir ke upacara doa untuk mangsa peperangan seperti itu bukan bermotifkan sokongan terhadap perjuangan bersenjata LTTE.
“Selepas LTTE dihapuskan pada 2009 akibat perang saudara, majoriti masyarakat Tamil mahu rundingan damai dilakukan dengan kerajaan Sri Lanka.
“Saya juga boleh sahkan, mereka yang hadir ke upacara memperingati mangsa perang itu untuk menyatakan simpati dan tidak menyokong prinsip LTTE,” tambahnya.
Ramasamy turut menjawab tuduhan berhubung sebaran foto menunjukkan beliau seolah-olah menyembah potret AK47 – senapang tempur yang sering digunakan kumpulan pemisah.
Turut disebarkan di media sosial adalah gambar beliau dengan dalam beberapa program yang mempunyai kaitan dengan LTTE dan lambang kumpulan tersebut.
“Dalam upacara doa yang diadakan, ada bendera dengan logo harimau. Logo itu bukan simbol bagi LTTE, tapi ia juga mengimbau perjuangan masyarakat Tamil yang wujud sebelum tertubuhnya LTTE.
“Begitu juga gambar saya dengan AK 47. Ia bukan bermaksud saya menyokong keganasan tapi gambar itu membawa maksud, senapang itulah menjadi punca konflik yang mengorbankan banyak nyawa,” jelas beliau.
Gambar berkenaan berlegar di media sosial bersama tuntutan agar Ramasamy ditahan kerana didakwa ada kaitan dengan LTTE.
Isu tersebut muncul kembali susulan penahanan 12 individu, termasuk dua Adun DAP yang didakwa menyokong dan cuba menghidupkan semula kumpulan itu di Malaysia.
Kesemua yang ditahan diletakkan dibawah Akta Kesalahan Keselamatan, Langkah-Langkah Khas (SOSMA) 2012.
Bukit Aman pada minggu lalu mengumumkan terdapat transaksi kewangan dalam jumlah yang besar untuk membiayai, mempromosi, merekrut dan menggerakkan program kumpulan militan itu. – 21 Oktober, 2019.
Komen