LTTE bukan pengganas, tegas Ramasamy


Zaim Ibrahim

Pemimpin kanan DAP P Ramasamy berkata beliau juga tidak pernah bersetuju dengan tindakan LTTE mengangkat senjata untuk menuntut autonomi di Sri Lanka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Oktober, 2019.

PASUKAN Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) tidak sepatutnya dikategorikan sebagai pengganas, kata pemimpin kanan DAP P Ramasamy.

Namun beliau juga tidak pernah bersetuju dengan tindakan LTTE mengangkat senjata untuk menuntut autonomi di Sri Lanka, katanya dalam wawancara dengan The Malaysian Insight.

“Saya tidak anggap mereka (LTTE) sebagai pengganas kerana mereka memperjuangkan pembebasan (wilayah Utara dan Timur Sri Lanka).

“Sama juga saya tidak anggap Hamas di Palestin, Gerakan Acheh Merdeka (GAM) di Indonesia, dan Tentera Republik Irish di Ireland sebagai kumpulan pengganas,” katanya.

Wawancara itu diadakan pada Sabtu, sehari sebelum polis mengesahkan memanggil Ramasamy untuk diambil keterangannya di Bukit Aman.

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang itu hari ini berada hampir empat jam untuk membantu siasatan polis berhubung dua laporan yang terbit di Malaysia Gazette dan Malaysiakini.

Dalam wawancara dengan The Malaysian Insight, Ramasamy menjelaskan, LTTE ditubuhkan sekitar tahun 1970-an selepas komuniti Tamil pada waktu itu menjadi mangsa diskriminasi oleh kerajaan Sri Lanka yang dikuasai kaum Sinhala.

Parti politik etnik Tamil pula gagal tangani isu tersebut dan menyebabkan kumpulan masyarakat itu berpendapat tiada gunanya lagi untuk berbincang dengan kerajaan dikuasai etnik Sinhala, katanya.

Dengan itu, kumpulan yang dipimpin Vellupillai Prabhakaran ini mengangkat senjata bagi menuntut wilayah Utara dan Timur Sri Lanka sebagai hak mereka, jelasnya.

Tegas Ramasamy, beliau tidak menyokong tindakan militan tersebut dan sebaliknya berusaha ke arah perdamaian dalam Jawatankuasa Hal Ehwal Perlembagaan LTTE pada Jun 2003.

“Saya bersimpati dengan LTTE, tetapi bukan saya menyokong aktiviti keganasan. Saya mahu bawa LTTE dan Kerajaan Sri Lanka ke meja rundingan damai.

“Perbincangan jawatankuasa itu tamat pada akhir 2003 dan satu kertas cadangan disediakan bagi memulihkan keadaan di Sri Lanka, namun ia ditolak oleh kerajaan Sri Lanka,” tambah beliau.

Namun beliau bukanlah wakil Malaysia dalam jawatankuasa itu. Jelas Ramasamy, beliau dilantik kerajaan Norway dalam jawatankuasa itu berdasarkan kepakarannya dalam konflik antarabangsa.

Beliau dilantik bersama lima individu lain atas kepakaran masing-masing seperti dalam perundangan dan ekonomi, jelas anggota jawatankuasa pusat DAP itu.

“Perbincangan dilakukan di beberapa buah negara seperti di Perancis, Switzerland, dan Ireland untuk berbincang dengan beberapa pakar di sana.

“Semua kos perjalanan ditaja oleh kerajaan Norway,” katanya yang menambah, beliau turut terlibat dalam rundingan damai di Acheh di Indonesia, Mindanao di Filipina dan di Colombia.

Katanya lagi, Jawatankuasa Hal Ehwal Perlembagaan LTTE tidak lagi berfungsi dan kali terakhir beliau berkunjung ke Sri Lanka pada 2004 bagi memujuk pimpinan LTTE untuk berdamai.

“Saya terangkan kepada pimpinan LTTE, keganasan tidak akan menyelesaikan konflik.

“Saya berusaha membawa mereka meja rundingan tetapi saya lihat konflik itu sukar untuk diselesaikan,” jelasnya.

Isu penglibatannya dengan LTTE itu muncul kembali susulan penahanan 12 individu, termasuk dua Adun DAP yang didakwa menyokong dan cuba menghidupkan semula kumpulan itu di Malaysia.

Selain itu, timbul tuntutan agar Ramasamy turut ditahan kerana didakwa menyokong LTTE. – 21 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen