PIHAK berkuasa agama Pulau Pinang akan menyiasat sama ada guru besar sekolah tahfiz, Shahul Hamid Seeni Muhammad ada melanggar peraturan di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Pulau Pinang).
Exco Hal Ehwal Agama, Abdul Malik Abul Kassim berkata Jabatan Agama Islam Pulau Pinang akan menyiasat sama ada Shahul mempunyai tauliah untuk mengajar Islam di negeri itu.
“Jika dia tiada tauliah, dia boleh didakwa di mahkamah syariah kerana mengajar agama tanpa tauliah.
“Jika dia ada tauliah, kami akan periksa jika dia ada melanggar mana-mana peruntukan undang-undang, yang boleh menyebabkan tauliahnya dibatalkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP),” katanya kepada wartawan pada sidang media di Komtar hari ini.
Syarat untuk pentauliahan mengajar agama Islam di Pulau Pinang termasuklah tidak menyebarkan fahaman atau pegangan yang bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah; dan tidak menyinggung perasaan mana-mana kaum, agama, adat resam dan budaya penduduk tempatan yang boleh membawa ketegangan kaum dan agama.
Mereka yang diberikan tauliah juga dikenakan syarat supaya tidak menyentuh apa-apa perkara berhubung dengan kebesaran, kemuliaan, kedaulatan dan kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja sebagai ketua agama negeri; tidak menyentuh secara langsung peribadi orang perseorangan; dan tidak menghina perkara-perkara khilafiah yang terdapat dalam empat mahzab.
“Pelanggaran mana-mana syarat ini boleh menyebabkan tauliah dibatalkan. Pembatalan itu akan diputuskan oleh jawatankuasa pengajaran agama Islam majlis agama yang dipengerusikan oleh mufti.
“Tindakan undang-undang juga boleh diambil di bawah Seksyen 11 Enakman Pentadbiran Agama Islam (Negeri Pulau Pinang) 1996,” kata Malik.
Shahul dilaporkan berkata yang “haram” hukumnya seorang Islam menggunting rambut di kedai orang bukan Islam. Kenyataanya itu dirakam dalam sebuah video dan dimuat naik ke dalam YouTube dua tahun lalu.
Video itu sudah dipadamkan dan Shahul juga menafikan menggunakan perkataan “haram” dalam kenyataan itu.
Dalam dua video yang berasingan, dia dilaporkan berkata yang orang Islam tidak wajar menghantar anak-anak mereka ke sekolah yang dikendalikan orang bukan Islam. Dalam sebuah video lain pula, dia mengatakan orang Islam tidak boleh mengucapkan “selamat hari lahir” atau “hello” dan “bye-bye”.
Malik berkata sejak pembangkang mengambil alih pentadbiran negeri pada 2008, kerajaan negeri berusaha membangunkan Islam dan mempromosi keamanan dan kesejahteraan antara rakyat pelbagai kaum.
“Kami tak mahu orang ambil peluang sensasikan kejadian ini, dan mengheret pemimpin negeri ke dalam isu ini,” katanya.
Awal hari ini, MCA Pulau Pinang membuat laporan polis menggesa kenyataan Shahul dan Malik dalam media disiasat.
Selasa lalu, Malik berkata kerajaan negeri tidak mengawal selia kenyataan dibuat penceramah agama. Katanya, pengurusan sekolah tahfiz dan komen individu adalah perkara yang berlainan.
Susulan laporan polis itu, dia memberitahu The Malaysian Insight yang dia tidak mengatakan kerajaan negeri tidak boleh mengawal perkara itu.
“Saya tak kata negeri tak boleh kawal. Kita boleh haramkan mereka bercakap secara umum,” katanya menerusi WhatsApp.
Pada sidang media tadi, dia mengatakan terpulang kepada MCA untuk bertindak dan pihak berkuasa untuk menyiasat. – 19 Oktober, 2017.
Komen