Ustaz nafi guna perkataan 'haram' larang ke salun bukan Islam


Pendakwah Shahul Hamid Seeni Muhammad menafikan mengatakan 'haram' bagi Muslim mendapatkan khidmat menggunting rambut daripada bukan Islam, sebaliknya hanya menasihati kerana ia secara tidak langsung akan membantu menyokong ekonomi peniaga Islam. – Gambar EPA, 19 Oktober, 2017.

GURU agama yang mencetuskan kontroversi, Shahul Hamid Seeni Muhammad menafikan menggunakan perkataan “haram” ketika merujuk hukum kepada orang Islam yang mendapatkan khidmat salun rambut yang dijalankan oleh bukan Islam, tetapi mempertahankan pendiriannya yang orang Islam sepatutnya mencari kedai yang dikendalikan orang Islam.

Pendakwah yang tinggal di Pulau Pinang dan juga pengetua Maahad Tahfiz Darul Tahzhib itu, baru-baru ini menerima kecaman susulan video yang dimuat naik dua tahun lalu apabila memaparkan beliau menasihati umat Islam agar tidak ke salun rambut milik bukan Islam.

“Jika anda menonton video betul-betul, saya hanya mengatakan walaupun tidak ada dalil yang melarang seorang lelaki memegang rambut orang lain, lebih baik mencari kedai yang dikendalikan oleh orang Islam untuk membantu mereka dalam ekonomi,” katanya dipetik seperti dilaporkan The Star.

“Sejak saya belajar di pondok dan masuk tingkatan 1, sampailah sekarang, saya tak pernah bagi kepala saya kepada orang-orang kafir untuk pegang. Walaupun tak ada dalil dia pegang itu haram… adalah lebih baik kita cari kedai Islam, sekurang-kurangnya kita bantu ekonomi orang Islam,” kata Shahul Hamid.

Di dalam klip video, yang dilihat lebih 9,000 kali, Shahul mengatakan wanita Islam dilarang ke salon bukan Muslim, kerana rambut wanita dianggap “aurat” dan tidak harus didedahkan kepada orang bukan Islam, walaupun wanita.

Dalam klip video yang lain sekitar tiga tahun lalu, Shahul mendesak umat Islam supaya tidak membeli produk serbuk kari daripada syarikat “Hindu” seperti Baba dan Alagappa.

Beliau mempersendakan “bomma dishti”, plat logam persegi dengan muka “setan menakutkan” di atasnya, di pintu masuk kilang tepung Alagappa berhampiran Permatang Pauh.

Beliau turut berkata haram menghantar anak-anak ke sekolah Cina, kecuali jika tiada pilihan.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Negeri Abdul Malik Abul Kassim berkata kenyataan Shahul tidak masuk akal dan mengarut.

“Ia nampak sangat teruk, terutama daripada orang yang terpelajar sepertinya. Kerajaan negeri tidak akan bertolak ansur dengan perkara mengarut seperti ini dan bertindak dengan sewajarnya untuk meningkatkan dan menanamkan kebijaksanaan dan pengajaran Islam yang menggalakkan kasih sayang, hormat dan keharmonian,” katanya dipetik di The Star.

Mufti Pulau Pinang Dr Wan Salim Wan Mohd Noor juga mengingatkan ustaz dan pendakwah Islam di negeri ini agar memilih dengan teliti istilah yang mereka gunakan, dengan mengatakan perkataan seperti “orang kafir” harus dielakkan.

“Ini adalah untuk mengelakkan orang ramai mempunyai pandangan yang buruk terhadap Islam atau menjadikan mereka sukar untuk menerima ajaran Islam,” katanya. – 19 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen