Walaupun berdepan tekanan perkauman, Pakatan perlu pilih jalan tengah


Sheridan Mahavera Lee Chi Leong

PENDEKATAN jalan tengah bersederhana hubungan kaum adalah satu-satunya cara untuk Pakatan Harapan terus maju walaupun berdepan desakan kuat supaya pakatan memerintah mengambil jalan amalan biasa perkauman, kata salah seorang pencatur utama strateginya.

Liew Chin Tong daripada DAP memberitahu The Malaysian Insight yang terdapat pihak di luar dan dalam PH yang mahu pakatan pemerintah tunduk kepada tuntutan pelampau Melayu dan bukan Melayu, tetapi beliau memberi amaran yang pendekatan melampau ini akan merosakkan kerajaan dan negara.

Menurutnya, PH perlu memberi tumpuan kepada usaha memenuhi keperluan ekonomi rakyat seperti menyediakan peluang pekerjaan bergaji baik berbanding perbezaan antara kaum.

Liew yang ketua Biro Pendidikan Politik DAP itu mengulas situasi semasa apabila PH terjerat dalam pelbagai isu seperti khat Jawi dan Dr Zakir Naik yang boleh menghakis sokongan penyokong kuatnya.

Penyokong PH juga baru-baru ini tidak berpuas hati dengan kehadiran Dr Mahathir Mohamad di Kongres Maruah Melayu, yang dianggap perhimpunan pelampau perkauman.

Kongres itu dianjurkan antara lainnya oleh ahli Bersatu- parti Dr Mahathir- dalam usaha mereka menaikkan imej Bersatu sebagai pembela hak dan keistimewaan orang Melayu.

Sementara itu, penyokong bukan Melayunya terutama daripada DAP pula memberi tekanan kepada PH untuk menghentikan usaha pengajaran khat Jawi di sekolah vernakular.

Turut timbul ura-ura ada pemimpin Umno yang berusaha memujuk Bersatu dan PKR untuk membentuk kerajaan baharu tanpa dua lagi parti komponen PH- DAP dan Amanah.

“Memang dalam masyarakat kita ada yang termakan dengan idea perkauman, kita mesti menerima bahawa kita masyarakat majmuk memang ada ‘fringe’ ataupun pinggir,” katanya yang juga timbalan menteri pertahanan.

“Penting untuk pemimpin utama dan juga majoriti pemimpin boleh memahami kepentingan jalan tengah ini.

“PH tidak ada peluang jadi lebih Islamik daripada PAS, PH pun tidak dapat jadi lebih Melayu daripada Umno, tidak dapat lebih Cina dan India dari MCA, MIC, kerana hujah mereka ni, hujahan India, Cina totok.

“PH boleh jadi satu kerajaan yang semua rasa selesa.”

Liew Chin Tong berkata jalan tengah adalah satu-satunya cara untuk Pakatan Harapan terus maju mentadbir Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Oktober, 2019.

Beliau bagaimanapun mengakui ia bukan tugas mudah kerana pengaruh sentimen perkauman terlalu kuat apatah lagi dengan kerjasama politik yang dibentuk PAS dan Umno.

PAS dan Umno kini berusaha menggunakan sepenuhnya sokongan Melayu Islam yang membentuk 60% pengundi Malaysia dengan tujuan merampas kembali Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang.

“Tapi itu bukan tugasan yang mudah terutama dengan cabaran Umno dengan PAS, ini bukan tugasan yang mudah. Tetapi, kalau PH ikut mana-mana hala tuju yang extreme, akhirnya dia akan pecah di tengah.”

PAS dan Umno memilih terus menggunakan jalan perkauman dan agama, tindakan yang tidak boleh diikuti Pakatan Harapan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Oktober, 2019.

Bagi Liew, PH perlu mendapatkan sokongan kuat semua komuniti walaupun empat parti komponen mendakwa mewakili kepentingan kumpulan berbeza.

“DAP mesti menyedari bahawa DAP tidak boleh menang hanya pengundi Cina dan India. DAP perlukan sokongan dari kalangan Melayu, tanpa sokongan dari orang Melayu, DAP hanya boleh menang 20 kerusi (Parlimen).”

DAP kini mempunyai 42 kerusi di Dewan Rakyat.

“Logik yang sama dengan Bersatu, yang menang di kawasan kerusi campuran terutamanya di Johor, semua kerusi campuran, mungkin 60% Melayu, 40% bukan Melayu. Bersatu menang atas sokongan Melayu dan bukan Melayu.”

Menurutnya lagi, rakyat Malaysia akhirnya akan memilih pendekatan jalan tengah untuk mengundi dan pakatan parti yang menggunakannya akan berjaya.

“Yang penting ialah akhirnya kita mesti menyedari bahawa semua rakyat memerlukan pekerjaan dengan gaji yang lebih berpatutan, semua perlu peluang pendidikan, dan upward mobility untuk anak mereka.

“Sebenarnya kita ada hasrat yang hampir sama walaupun kita berbeza agama, bahasa, budaya. Tapi sebenarnya kita ada kepentingan yang hampir sama.”– 19 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen