Hishammuddin sendiri beritahu rancangan ketepi DAP, Amanah, kata Anwar


Ravin Palanisamy

Presiden PKR Anwar Ibrahim ditanya mengenai sumber maklumat bahawa bekas Hishammuddin Hussein dan beberapa orang sekutunya berunding untuk membentuk kerajaan tanpa Amanah dan DAP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Oktober, 2019.

HISHAMMUDDIN Hussein sendiri yang beritahu beliau berharap untuk membentuk kerajaan baharu dengan Pakatan Harapan (PH) tanpa DAP dan Amanah, kata Anwar Ibrahim.

Anwar berkata demikian apabila ditanya sumber maklumat yang PH perolehi bahawa bekas naib presiden Umno itu dan beberapa orang sekutunya berunding untuk membentuk kerajaan tanpa Amanah dan DAP.

“Saya tanya Sembrong,” kata presiden PKR itu secara ringkas kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini. Hishammuddin adalah ahli Parlimen Sembrong.

“Dia patut nafi atau mengiyakan. Kalau dia nafi, baguslah,” katanya.

Hishammuddin yang ditemui di lobi Parlimen pagi tadi menafikan dakwaan mengenai pembentukan kerajaan baharu itu, sekali gus menafikan beliau mempromosikan politik berdasarkan kaum menerusi penulisannya yang disiarkan di akhbar baru-baru ini.

“Di mana ada saya kata dalam tulisan saya bahawa kami mahu mengetepikan DAP dan Amanah?

“Di mana saya cakap tentang politik perkauman? Saya bercakap tentang perpaduan. Jadi, sama ada mereka tidak baca tulisan saya atau sengaja mengabaikannya,” katanya. 

Ketika ditanya adakah beliau melihat PH sebagai kerajaan yang kuat sekarang, Hishammuddin berkata ada isyarat menunjukkan keadaan tidak begitu baik untuk pakatan pemerintah, menambah tidak guna menjadikan beliau sebagai sasaran.

“Jika mereka kuat, kenapa mereka sasarkan kepada Sembrong.

“Ini isyarat yang keadaan tidak baik untuk mereka. Mereka perlu selesaikan.

“Kami tidak akan membenarkan Barisan Nasional, Umno atau Sembrong jadi kambing hitam untuk masalah dalaman mereka,” kata Hishammuddin. – 16 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen