PEMIMPIN DAP P. Ramasamy berkata beliau tiada kaitan dengan parti berhaluan kanan yang berpangkalan di Tamil Nadu yang didakwa cuba menghidupkan gerakan Harimau Tamil.
“Saya tahu tentang parti politik itu tapi saya tiada kaitan dengan mereka. Mereka bertanding di Tamil Nadu dan kalah.
“Saya tidak tahu perkaitan mereka di Malaysia,” kata timbalan ketua menteri Pulau Pinang II itu kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Menurutnya, beliau tidak tahu mengenai sebarang kaitan parti Tamil Nadu, Naam Tamilar Katchi (NTK) dan parti politik di negara ini.
“Sekiranya polis mempunyai sebarang bukti untuk menyatakannya, mereka perlu ambil tindakan.”
Beliau juga berkata tidak mengetahui sama ada kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) mempunyai cawangan di Malaysia.
Ditanya sama ada beliau tahu mengenai sokongan kewangan kepada LTTE dari Malaysia, Ramasamy sekali lagi mengatakan polis perlu sediakan bukti dan biarkan mahkamah tentukan.
Semalam, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas, Bukit Aman Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, polis akan menghalang ketua penyelaras NTK Senthilan Seeman daripada memasuki Malaysia sekiranya mereka mendapat bukti hubungannya dengan LTTE.
Seeman juga pernah mengunjungi Malaysia beberapa kali untuk bertemu ahli politik, kata Ayob.
“Ia bergantung kepada siasatan ke atas 12 individu yang ditahan. Kita akan lihat sejauh mana peranan beliau (Seeman) dalam mempromosi atau menyalurkan dana kepada elemen LTTE di Malaysia.
“Jika ada sebab, kita akan minta Imigresen halang kemasukannya ke negara ini,” kata Ayob. – 14 Oktober, 2019.
Komen