SARAWAK sepatutnya gembira dengan peruntukan belanjawan seperti mana mereka pernah gembira dengan dana lebih sedikit diberi kerajaan Barisan Nasional, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
“Mereka akan sentiasa kata mereka tak puas hati walaupun kita beri 100% geran khas.
“Sarawak adalah negeri kedua selepas Sabah yang menerima peruntukan belanjawan tertinggi daripada kerajaan persekutuan. Saya harap mereka boleh pertimbangkan semula kerana kita beri lebih banyak berbanding apa yang mereka dapat daripada pentadbiran dahulu.
“Dulu mereka tak merungut pun,” kata Lim selepas sesi taklimat dengan ahli Parlimen Pakatan Harapan hari ini.
Semalam, Lim membentangkan Belanjawan 2020 dan mengumumkan Sabah dan Sarawak masing-masing akan menerima RM5.2 bilion dan RM4.4 bilion untuk perbelanjaan pembangunan tahun depan.
Jumlah itu bersamaan dengan lebih kurang 17% daripada jumlah keseluruhan pembangunan Malaysia sebanyak RM56 bilion.
Pengumuman peruntukan itu menimbulkan kecaman pelbagai pemimpin Sarawak yang menyifatkannya kegagalan Putrajaya melunaskan janji pilihan raya.
“Apa jadi kepada janji peruntukan 30%?” tanya Ahli Parlimen Petra Jaya yang juga Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak Fadillah Yusof, hari ini.
Manakala, Presiden Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) Dr Sim Kui Hian semalam berkata peruntukan itu tidak mencukupi untuk pembangunan negeri itu.
“Putrajaya, selama bertahun-tahun, mendapat RM600 bilion daripada minyak dan gas kita, sejak Petronas diasaskan pada 1974,” kata Adun Batu Kawa itu.
Beliau juga menyifatkan Belanjawan 2020 terlalu “berpusatkan Malaya”. – 12 Oktober, 2019.
Komen