
PAKATAN Harapan gagal menunaikan janjinya untuk memberikan 30% peruntukan belanjawan pusat kepada Sabah dan Sarawak, kata Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak Fadillah Yusof.
Katanya, peruntukan untuk negeri Borneo itu dalam Belanjawan 2020 dibentangkan semalam hanyalah sebanyak 17.1%.
“Apa jadi kepada janji peruntukan 30%?” tanya ahli Parlimen Petra Jaya itu.
“Hanya RM4.4 bilion dalam peruntukan pembangunan diberikan kepada Sarawak dan RM5.2 bilion kepada Sabah. Jumlahnya hanya RM9.6 bilion atau 17.1% daripada jumlah keseluruhan peruntukan pembangunan,” kata Fadillah.
Janji ke-42 dalam manifesto pilihan raya PH menyatakan “sehingga 30% peruntukan belanjawan setiap tahun akan dikhususkan untuk Sabah dan Sarawak.”
Fadillah yang merupakan bekas menteri kerja raya pada zaman Barisan Nasional, juga mempersoalkan mengapa Sarawak yang mempunyai keluasan hampir sama dengan Semenanjung menerima peruntukan lebih kecil berbanding Sabah.
Katanya, tindakan Putrajaya ini boleh menjejaskan usaha merapatkan jurang pembangunan dua negeri Borneo itu dengan Semenanjung.
Fadillah juga kecewa apabila belanjawan itu tidak menangani isu pemulangan 50% cukai persekutuan yang dikutip di Sarawak kepada negeri.
“Langsung tak disebut,” katanya, menyifatkan belanjawan itu gagal memenuhi sebarang janji dibuat pakatan pemerintah kepada penduduk Sarawak ketika pilihan raya lepas.
Ketua Pemuda PAS Sarawak Zharudin Narudin, pula berkata, tidaklah mengejutkan PH gagal menunaikan janjinya kepada negeri itu.
“Belanjawan itu hanya menampakkan lagi kegagalan teruk Pakatan Harapan untuk menunaikan janji yang mereka buat dalam manifesto pilihan raya.”
Presiden Parti Bumi Kenyalang (PBK) Voon Lee Shan pula berkata, belanjawan itu “menghina intelek” penduduk Sarawak.
Katanya, walaupun Putrajaya meminta rakyat tidak bergantung kepada subsidi kerajaan, tetapi kerajaan persekutuan sendiri “bergantung kepada subsidi dan kemurahan hati penduduk Sabah dan Sarawak” yang kaya sumber asli dan minyak.
Voon, bekas wakil rakyat DAP, berkata Semenanjung ada “mentaliti subsidi”.
Kerana itu, katanya lagi, untuk menunjukkan Putrajaya memahami makna “keadilan saksama, peluang saksama, kerjasama saksama dan status saksama”, ia perlu membahagikan peruntukan kepada tiga bahagian pada tahun depan.
“Semua peruntukan belanjawan tahun depan patut dibahagikan kepada tiga bahagian saksama antara Malaya, Sabah dan Sarawak,” katanya. – 12 Oktober, 2019.
Komen