
BELANJAWAN 2020 mesti merangka pelan baharu pengagihan kontrak yang lebih adil supaya tidak membunuh masa depan kontraktor kelas F, kata persatuan usahawan itu.
Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas (F) Malaysia Tukiman Radion berkata, masalah itu serius kerana ada anggotanya tidak mendapat sebarang projek sejak empat tahun lalu.
Mereka tidak mengharapkan pemberian projek secara mudah tetapi polisi yang lebih adil supaya dapat mengisi periuk nasi, katanya kepada The Malaysian Insight.
Dasar itu hendaklah seiring dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) yang diumumkan kerajaan Sabtu lalu, katanya
Jelasnya, kontraktor Bumiputera F sukar mendapatkan projek kerana sistem tender terbuka menyebabkan projek-projek kecil turut diambil oleh kontraktor besar.
Oleh itu, kerajaan perlu menetapkan hanya projek-projek kecil dikhususkan kepada kontraktor kelas F melalui sistem undian kerana sistem itu lebih adil buat mereka, katanya.
“Kami pun mahu merasai kemakmuran seperti dasar baharu kerajaan. Sistem undian perlu digunakan untuk projek kecil.
“Polisi tender terbuka menyebabkan kontraktor besar juga mendapat projek kecil kerana kadang kala, projek-projek kecil itu dikumpulkan menjadi nilainya besar.
“Kami pun tidak fokus kepada projek pembinaan besar, kami lebih tumpu projek-projek baik pulih seperti jalan raya, bangunan, dan longkang,” jelas beliau.
Tambahnya, had syiling nilai projek kecil berharga RM 200,000 perlu dinaikkan kerana harga itu tidak berubah sejak 17 tahun lepas.
“Untuk Belanjawan 2020, kerajaan perlu menaikkan had siling projek kelas F daripada RM 200,000 kepada RM 350,000 kerana bahan-bahan binaan semakin mahal.
“Had siling RM200,000 tidak diubah 17 tahun lalu sedangkan pada waktu itu harga simen 50kg adalah RM8.50 dan harga besi satu tan adalah RM400.
“Tetapi kini, harga simen naik kepada RM18 untuk 50kg dan harga besi satu tan adalah RM 2,000. Setelah sekian lama, keuntungan yang kami dapat amat kecil,” jelas beliau ketika dihubungi.
Beliau turut meminta kerajaan mengawal pengeluaran lesen kontraktor Kelas F kerana jumlahnya semakin ramai dan boleh menimbulkan persaingan yang tidak sihat.
“Keadaan sekarang pun lebih teruk apabila (kontraktor) kelas F dibuka lesen baharu, akan bertambah kontraktor kecil sedangkan projek amat sedikit.
Ia memang mewujudkan persaingan makin kuat tetapi ia juga tidak sihat kerana projek untuk kontraktor kecil tidak banyak,” jelasnya lagi.
Antara objektif WKB 2030 yang dilancarkan Sabtu lalu oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ialah menangani jurang kekayaan dan pendapatan.
Dokumen WKB 2030 itu menyebut, jurang pendapatan kaya dan miskin melebar 10 kali ganda dalam tempoh dua dekad.
Pada 1989, purata jurang pendapatan isi rumah B40 dengan keluarga T20 ialah RM1,935 sebulan tetapi pada 2016, jurang itu melonjak 10 kali ganda iaitu RM10,148 sebulan.
Teras utamanya juga adalah menangani ketidaksamaan antara golongan kaya dengan miskin, kawasan bandar dengan luar bandar dan antara kumpulan etnik.
Dokumen berkenaan turut menyebut, golongan Bumiputera masih tertinggal dalam pelbagai sektor pekerjaan berbanding kaum lain.
Pada 2014, hanya 46% Bumiputera mendominasi bidang kedoktoran, 36% (jurutera), 41% (peguam),45% (doktor haiwan) dan 39% (arkitek).
Menteri Kewangan Lim Guan Eng akan membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat pada petang ini. – 11 Oktober, 2019.
Komen