TIMBALAN Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy sedia disiasat polis atas dakwaan menyokong gerakan kumpulan pengganas dari Sri Lanka, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).
Katanya, dakwaan beliau terlibat dalam kumpulan itu hanyalah tuduhan daripada musuh politik dan beliau akan menghormati tugas polis sekiranya dipanggil untuk siasatan.
“Polis boleh siasat saya. Saya tidak lari ke mana-mana. Saya hormati pihak polis dan undang-undang di Malaysia,” kata beliau kepada The Malaysian Insight.
Mengulas mengenai dakwaan beliau terlibat dalam LTTE, Ramasamy berkata ia adalah isu lama sengaja dikembalikan apabila beliau mengkritik penceramah kontroversi dari India, Zakir Naik.
“Ketika saya mengkritik Zakir Naik kerana ucapan beliau di Kelantan, ramai yang mengatakan saya terlibat dalam LTTE,” katanya.
Tambahnya, beliau juga tidak bersikap anti-Islam atas peneNtangan ke atas Zakir kerana turut menyokong perjuangan masyarakat Palestin dan minoritI muslim Rohingya di Myanmar.
“Saya adalah penyokong masyarakat Palestin, umat Islam di Rohingya, dan menjadi perunding pendamaian di Acheh dan di Mindanao, Filipina.
“Adakah jika saya anti-Zakir Naik, saya anti-Islam, sudah tentu tidak,” tambah beliau.
Polis hari ini mengesahkan tujuh suspek termasuk dua Adun DAP ditahan setakat ini kerana cuba menghidupkan kembali LTTE.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Antikeganasan, Cawangan Khas Bukit Aman, Ayub Khan Mydin Pitchay berkata ia melibatkan ucapan wakil rakyat itu semasa Hari Perwira LTTE di Melaka pada 28 November lalu.
Dua Adun tersebut adalah Exco Melaka G Saminathan yang ditahan di pejabat di Seri Melaka dan Adun Seremban Jaya, P Gunasekaran yang ditahan di Negeri Sembilan pagi ini.
Mengulas tangkapanitu, Ramasamy berharap mereka diadili sebaiknya dan beliau yakin Adun DAP tersebut tidak terlibat dalam LTTE.
“Tidak betul (mereka terlibat LTTE). Tak tahu apa sebenarnya pendirian polis kerana LTTE sudah dihapuskan pada 2009 akibat perang saudara di Sri Lanka,” katanya.
Tambahnya, beliau juga percaya wakil rakyat berkenaan hanya bersimpati pada masyarakat Tamil di Sri Lanka.
“Saya tidak pasti mereka sokong atau tidak tetapi yang pasti, mereka hanya menyatakan simpati kepada mangsa pembunuhan masyarakat Tamil di Sri Lanka yang mencecah ratusan ribu manusia.
“Sebagai perunding perdamaian, saya harap polis perlu lihat sama ada mereka sokong LTTE atau menyokong perjuangan demokrasi dan keadilan masyarakat Tamil di Sri Lanka,” tambahnya lagi. – 10 Oktober, 2019.
Komen