POLIS mengesahkan tujuh suspek termasuk dua Adun DAP ditahan setakat ini kerana cuba menghidupkan kembali kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Antikeganasan, Cawangan Khas Bukit Aman, Ayub Khan Mydin Pitchay berkata wakil rakyat berkenaan mempromosi kumpulan itu semasa menyampaikan ucapan.
“Dua Adun itu ditahan kerana memberi ucapan berunsur sokongan dalam satu program Hari Perwira LTTE di Melaka pada 28 November lalu selain terbabit dalam aktiviti mengedarkan risalah dan barangan berkaitan kumpulan itu.
Dua Adun tersebut adalah Exco Melaka G Saminathan yang ditahan di pejabat di Seri Melaka dan Adun Seremban Jaya, P Gunasekaran yang ditahan di Negeri Sembilan pagi ini.
Suspek lain pula didapati terlibat menyebar propaganda LTTE secara sulit dan juga menyerang pegawai kerajaan Sri Lanka, negara asal kumpulan pengganas tersebut.
“Dua daripadanya yang masing-masing ditahan di Rawang dan Sungai Siput, Perak pernah disabit hukuman atas kesalahan menyerang Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada September 2016,” katanya.
__full.jpeg)
Katanya, suspek yang ditahan di Perak itu juga pernah mengadakan perjumpaan sulit di Sungai Siput untuk menyebarkan propaganda berkaitan kumpulan LTTE.
Seorang lagi suspek yang ditahan di Kuala Lumpur dikesan berinteraksi dengan suspek lain yang masih bebas untuk melancarkan serangan di Suruhanjaya Tinggi Sri Lanka di Malaysia, katanya.
Menurutnya, polis akan terus menjalankan siasatan dan tangkapan susulan dijangka akan dibuat berhubung pembabitan individu lain dalam menyokong LTTE.
“Bukan sahaja di Malaysia, dua hari lepas ada beberapa lelaki juga ditahan di Eropah kerana mencari dana bagi membiayai kumpulan LTTE,” katanya.
Ketika ditanya sama ada seorang pemimpin dari Pulau Pinang akan ditahan berkaitan aktiviti menyokong LTTE, Ayob tidak menolak kemungkinan itu.
Tegasnya, sesiapa saja akan ditahan jika polis menemui bukti kukuh mengenai pembabitan mereka.
Operasi khas pasukannya dijalankan di beberapa lokasi termasuk Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Perak dan Kedah.
Dalam operasi antara jam 9 pagi hingga 2 petang hari ini polis turut merampas barang-barang yang digunakan untuk mempromosi kumpulan pengganas itu, katanya. – 10 Oktober, 2019.
Komen