SEBAHAGIAN kakitangan Kumpulan Utusan Melayu Berhad yang menganggur apabila syarikat itu tutup semalam akan diserapkan ke syarikat baharu yang mengambil alih penerbitan akhbar itu, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
“Utusan akan ditutup tetapi berkenaan kakitangan terbabit, sebahagiannya akan diambil bekerja dengan Utusan yang baharu,” katanya selepas menghadiri Pameran dan Persidangan Teknologi Hijau dan Produk Eko Antarabangsa di Kuala Lumpur hari ini.
Penerbit Utusan Malaysia dan Kosmo, Utusan Melayu Berhad, syarikat akhbar yang wujud sejak 1930-an menutup operasinya dan memberhentikan kira-kira 800 kakitangannya semalam.
Keputusan itu dibuat selepas Utusan tidak dapat lagi menanggung beban hutang terkumpul sejak bertahun-tahun lamanya, dianggarkan antara RM240 juta dan RM340 juta.
Dr Mahathir mengulangi kenyataan Pengerusi Eksekutif Utusan Melayu Abd Aziz Sheikh Fadzir iaitu pengambilan semula kakitangan sedia ada akan diserahkan kepada pemegang saham baharu.
Aziz sebelum ini berkata akhbar bahasa Melayu tertua negara itu akan dilancarkan semula di bawah syarikat hartawan Syed Mokhtar Al-Bukhary, Aurora Mulia Sdn Bhd yang memiliki hak milik lesen percetakan.
“Utusan akan terus hidup. Kami bubarkan syarikat induk tetapi pemilikan lesen percetakan diperoleh oleh Aurora Mulia dan mereka akan melancarkan penerbitan dalam masa terdekat,” katanya seperti yang dilaporkan. – 10 Oktober, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen