UTUSAN Malaysia akan “hidup” di bawah syarikat lain yang dikaitkan dengan hartawan Syed Mokhtar Al-Bukhary, lapor The Edge.
Bagaimanapun pengambilan semula kakitangan sedia ada akan diserahkan kepada pemegang saham baharu, kata Pengerusi Eksekutif Utusan Melayu (Malaysia) Berhad Abd Aziz Sheikh Fadzir.
Menurutnya, akhbar bahasa Melayu tertua negara itu akan dilancarkan semula di bawah syarikat Syed Mokhtar, Aurora Mulia Sdn Bhd yang memiliki hak milik lesen percetakan.
“Utusan akan terus hidup. Kami bubarkan syarikat induk tetapi pemilikan lesen percetakan telah diperoleh oleh Aurora Mulia dan mereka akan melancarkan penerbitan dalam masa terdekat,” katanya seperti yang dilaporkan di taman The Edge.
Utusan Melayu sebelum ini mengumumkan penutupan operasinya hari ini dan pemberhentian penerbitan Utusan Malaysia dan Kosmo! bermula esok.
Lebih 800 kakitangannya telah diberi cuti selama sebulan dan hari terakhir perkhidmatan mereka ialah pada 31 Oktober.
Mereka dikehendaki menghadiri taklimat pada 30 Oktober ini untuk mengetahui nasib mereka selanjutnya.
Abdul Aziz berkata ia bergantung kepada pemegang saham baharu untuk memindahkan kakitangan Utusan ke entiti baharu yang akan menjalankan penerbitan itu.
Menurut The Edge, Aurora Mulia yang merupakan 31.22% milik Syed Mokhtar telah mengambil alih 70% pegangan Utusan di Dilof Sdn Bhd yang sebelum ini memperoleh lesen dan arkib pencetakan untuk Utusan Malaysia dan Kosmo!.
Pelupusan 70% pegangan Utusan di Dilof ke Aurora Mulia diumumkan tiga hari lalu pada 6 Oktober.
Abdul Aziz memberitahu The Edge bahawa perubahan pemilikan pencetakan yang dilesenkan kepada Dilof telah diluluskan oleh Kementerian Dalam Negeri pada awal Oktober.
The Edge berkata pemeriksaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia mendapati Dilof telah ditukar namanya kepada Media Mulia Sdn Bhd.
Sementara itu Aurora Mulia pada Ogos menaikkan kepentingannya dalam kumpulan Media Prima Bhd kepada 20.56% selepas memperoleh 50 juta saham dalam syarikat yang membuat kerugian. – 9 Oktober, 2019.
Komen