Dilema Melayu tergadai yang tak sudah


SAYA Melayu. Melayu yang keliru dengan keadaan semasa yang agak kelam-kabut dengan macam-macam perhimpunan rakyat. Melayu yang pening dengan kepimpinan Melayu yang tidak stabil dan kelihatan berpuak-puak.

Saya Melayu yang sudah hilang kepercayaan dan tak nampak ke mana arah tujuan mutlak. 

Selepas Himpunan Perpaduan Ummah 14 September, saya rasa diri saya macam kafir harbi, sebab tak sokong PAS-Umno. Selepas Kongres Maruah Melayu pada 6 Oktober, saya rasa maruah pula tergadai.

Selepas Himpunan Bangsa Malaysia pada 26 Oktober ini, saya dah tak tahu apa nak rasa – dah kebas, dah konfius sebab dah macam-macam diperkatakan pasal Melayu: malas, banyak makan dedak, rent seekers, dan yang terbaru, maruah tergadai. Adoi, perit rasa hatiku.

Saya tak tahu apa maksud sebenar “maruah tergadai”. Yang saya faham, Melayu memang suka berpecah-belah. Belajar dari mana, I also don’t know. Kafir tak macam ini. Yahudi tak macam ini.

Orang lain reti saling tolong-menolong. Faham maksud “sepakat kita kuat, berpecah kita rebah. Sampai sekarang Yahudi berjaya mengawal ekonomi dunia. Tak payah nak marah sangatlah kat Soros tu. Empayar dia terlalu besar. Dah terlalu hebat di mata dunia.

Cina pun sama. Cina suka tolong Cina. Lee Kuan Yew yang kena tendang dari Malaysia sebab nak pertahankan “Malaysian Malaysia” pun dah berjaya tingkatkan Singapura ke tahap “First World Status” dalam masa 50 tahun sahaja. Tak kisahlah kalau Yahudi yang tolong. Janji duit depa dah tiga kali duit kita.

Cerita Malaysian Malaysia ni dah lapuk ditelan zaman. Ini cerita zaman Lee Kuan Yew, zaman 60-an. Yang penting, bukan pasal kaum. Yang penting, kita ada arah tujuan. Ada objektif hidup. Hari-hari bangun tidur untuk capai cita-cita. Bukan saling jahanam-menjahamkan.

Tapi kita ini Melayu, tak habis-habis nak memperjuangkan hak Melayu, hak Bumiputera dan sebagainya. Bukan nak kata tak boleh, tapi macam dah tak ada cerita lain. Macam dah kehabisan modal. Asyik-asyik cerita ulang tayang hak Bumiputera dan Perlembagaan. Oh, bosan.

Sampai ke sudah, cerita Islam terancam dan hak Melayu dilucut tak akan selesai, selagi Melayu sendiri bergaduh, dengki-mendengki, suka sangat jatuhkan kaum sendiri.

Dari dulu lagi, Melayu memang tak boleh tengok orang pandai sikit daripada dia. Pantang tengok orang senang. Kalau tengok rakan sekerja bawa kereta import, confirm duduk tak senang, tidur tak lena, mandi tak basah. Mengaku diri Islam konon, tapi suka nak persoalkan rezeki orang. Tak faham langsung konsep rezeki itu Allah yang aturkan.

Mesti nak cucuk bos, kasi jatuh kawan sendiri kat ofis, supaya dia pulak boleh naik pangkat. Tuan punya badan malas kerja. Datang ofis awal tapi terbongkang tidur kat Toto dulu. Otak pun tak berapa nak geliga. Yang boleh dibuat hanya cari kesalahan orang lain. Kalau tak ada salah, dia akan reka cipta pulak. Suka nak jadi kaki bodek, kaki kipas, kaki membusukkan orang lain supaya dia boleh maju ke depan.

Itulah dia Melayu jati. Tak kisahlah kat mana pun, kebanyakannya berkembang luas GLC sebab lebih daripada 90% demografi Melayu. Yang jual nasi lemak, nasi ayam, keropok lekor pulak, suka santau menyantau.

Adoiii, tak taulah nak cerita. Memang kebanyakannya tak nak tolong orang sendiri. Nak marah kat Dr Mahathir Mohamad – kata Melayu malas, tak suka kerja pun tak boleh. Sebab ada kesahihannya. Memang tak salah ayat maruah tergadai itu.

Kalau Melayu sendiri masih berpegang utuh kepada konsep “berkerat rotan berpatah arang” memang tak ke manalah arah tujuan kita. – 10 Oktober, 2019.

*Sairana Mohd Saad adalah pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen