MALAYSIA masih belum memutuskan untuk meneruskan pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang dan akan membincangkan perkara itu bersama China dan Australia, kata Menteri Pengangkutan Liow Tiong Lai hari ini.
“Kami akan dapatkan komen dari China dan Australia sebelum boleh buat keputusan memulakan pencarian. Ia masih perlukan proses,” katanya pada majlis pembukaan rekaan konsep stesen kereta api berkelajuan tinggi (high speed rail) Kuala Lumpur-Singapura di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa (MITEC).
Liow ditanya mengenai laporan berita Channel Nine mengatakan Malaysia mungkin meneruskan pencarian pesawat yang hilang itu pada minggu depan selepas sebuah syarikat penerokaan laut di Amerika Syarikat membuat tawaran tidak mengenakan sebarang bayaran jika pesawat gagal ditemui.
Ketiga-tiga negara yang berkongsi usaha pencarian selepas pesawat MH370 hilang pada 8 Mac, 2014, hanya akan mengadakan pertemuan selepas menerima laporan daripada beberapa syarikat penerokaan laut yang membuat tawaran pencarian pesawat itu.
Setakat ini tiga firma menwarkan bantuan: Ocean Infinity, jurukur maritim Belanda, Fugro dan sebuah syarikat temapatan.
“Ada tiga cadangan untuk kami teliti. Hanya Ocean Infinity yang akan melakukannya tanpa caj,” kata Liow.
Ocean Infinity membuat tawaran itu akan menggunakan enam kenderaan bawah laut di kedalaman sehingga 6,000 meter untuk mengumpul data pada “kelajuan pecah rekod”.
Malaysia, Australia dan China menggantung pencarian hampir tiga tahun di selatan Lautan Hindi pada 17 Januari setelah gagal menemui sebarang jejak pesawat yang hilang.
Beberapa serpihan bangkai dibawa ke pantai di sekitar Lautan Hindi, termasuk Madagascar dan Pulau Reunion di mana serpihan sayap yang dikenali sebagai flaperon dijumpai pada 2015.
Malaysia telah membelanjakan hampir RM500 juta untuk mencari pencarian MH370 sejak tiga tahun lalu. – 17 Oktober, 2017.
Komen