MALAYSIA mungkin meneruskan pencarian terhadap kehilangan penerbangan Malaysia Airlines MH370 minggu depan selepas sebuah syarikat penerokaan laut di Amerika Syarikat membuat tawaran tidak mengenakan sebarang bayaran jika pesawat gagal ditemui, lapor saluran berita Channel Nine.
Putrajaya bersedia menerima tawaran Ocean Infinity selepas berakhirnya pencarian dua tahun di selatan Lautan Hindi dan laporan akhir Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) yang dikeluarkan pada 3 Oktober.
Menteri Pengangkutan Liow Tiong Lai berkata sebelum ini, Malaysia memerlukan petunjuk baru yang boleh dipercayai sebelum memulakan usaha pencarian baru bagi pesawat malang itu yang hilang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014, bersama 239 penumpang dan anak kapal.
Beliau berkata beberapa syarikat penerokaan dasar laut, termasuk Ocean Infinity dan juruukur maritim Belanda, Fugro, menawarkan untuk membantu mencari MH370 selepas pencarian di kawasan 74,000 kilometer persegi dasar laut di selatan Lautan Hindi digantung pada Januari.
Ocean Infinity membuat tawaran itu akan menggunakan enam kenderaan bawah laut di kedalaman sehingga 6,000 meter untuk mengumpul data pada “kelajuan pecah rekod”.
Beberapa serpihan bangkai dibawa ke pantai di sekitar Lautan Hindi, termasuk Madagascar dan Pulau Reunion di mana serpihan sayap yang dikenali sebagai flaperon dijumpai pada 2015.
Pada Ogos, ATSB berkata ia berjaya menentukan lokasi bangkai Boeing 777, mengecilkannya kepada kawasan seluas 5000 km persegi kira-kira 2,000km dari Perth.
Laporan yang dikeluarkan akhir tahun lalu mengenal pasti kawasan 25,000sq km di luar kawasan carian asal.
Malaysia, Australia dan China menggantung pencarian hampir tiga tahun di selatan Lautan Hindi pada 17 Januari setelah gagal menemui sebarang jejak pesawat yang hilang.
Malaysia telah membelanjakan hampir RM500 juta untuk mencari pencarian MH370 sejak tiga tahun lalu. – 17 Oktober, 2017.
Komen