Utusan sebahagian daripada hidup kami, kata pekerja


Alfian Z.M. Tahir Zaim Ibrahim

Seorang kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Bhd menahan sebak selepas syarikat akhbar itu umum menghentikan operasinya serta merta hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 9 Oktober, 2019.

BAGI kebanyakan kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Bhd, syarikat akhbar itu bukan sekadar tempat bermulanya kerjaya mereka, tetapi juga bertemu jodoh.

Mereka sukar menyembunyikan rasa sebak ketika menceritakan pahit manis sepanjang menjadi sebahagian dari syarikat akhbar berbahasa Melayu tertua di negara ini, yang mengumumkan pemberhentian operasinya, hari ini.

“Selama 39 tahun saya di Utusan Malaysia. Syarikat ini sebahagian daripada hidup saya, saya jumpa jodoh pun di sini. Sedih bila tengok syarikat gulung tikar,” kata Abdul Rahim Mat Ribu, bekas kakitangan dari 1974 hingga 2013.

Abdul Rahim bertugas di bahagian pengiklanan di syarikat akhbar yang ditubuhkan pada 1930-an.

“Masa dulu, kita semua satu keluarga. Saya ingat lagi, semasa pilihan raya, kami beli seekor lembu dan masak dekat depan pintu masuk di pejabat lama. Kami masak untuk sambut pilihan raya. Macam Hari Raya. Semua orang dari bos atasan sampai ke wartawan pun ikut serta.

“Ada juga sekali kami anjurkan piket kecil untuk tuntut kenaikan gaji dan esoknya, permintaan kami ditunaikan. Itu memang kami tak dapat lupakan.

“Ramai rakan sepejabat yang dah meninggal dunia dan saya rasa kalau mereka masih hidup lagi mereka pun akan sedih bila dengar berita ini,” kata Abdul Rahim ketika ditemui di luar bangunan ibu pejabat Utusan hari ini.

Kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Bhd mengemas tempat kerja dan mengeluarkan barang peribadi di ibu pejabat syarikat itu hari ini.  – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 9 Oktober, 2019.

Utusan pagi tadi mengumumkan menghenti operasinya serta-merta hari ini dan memberhentikan kira-kira 800 kakitangannya berkuat kuasa hujung bulan ini.

FOTO: HARI TERAKHIR DI UTUSAN

Secara teknikalnya, pekerja diberi cuti selama sebulan sehingga hujung bulan ini, dan satu taklimat lain akan diadakan untuk memaklumkan keputusan muktamad mengenai nasib mereka.

Sebahagian daripada mereka mungkin akan ditawarkan kerja baru di syarikat baru, Dilof Sdn Bhd yang mendapat permit untuk mencetak Utusan Malaysia and Kosmo!.

Sama seperti bekas pekerja lain, Rahim datang ke ibu pejabat Utusan di Kuala Lumpur pagi tadi untuk mendengar pengumuman tersebut.

Kata Rahim, ramai rakan sepejabatnya bertemu pasangan masing-masing di Utusan disebabkan waktu kerja yang lama membataskan waktu untuk mereka mencari teman wanita.

“Saya jumpa isteri saya di sini. Kami kerja dari pagi samapi tengah malam.

“Bukan saya saj, ramai kawan-kawan yang berkahwin dengan rakan sepejabat. Kami dah macam satu keluarga di sini,” katanya.

Rahim percaya Utusan akan terus beroperasi jika diuruskan dengan lebih baik. Tambah beliau, bekas pekerja dan Kelab Veteran Utusan Melayu sebelum ini pernah cuba menghulurkan bantuan.

Bagi Hasif Idris yang bekerja selama tiga tahun di Utusan berkata kakitangan masih setia dengan syarikat walaupun tidak dibayar gaji selama berbulan-bulan.

“Kami tetap datang bekerja biarpun syarikat tak bayar kami walau sesen pun,” katanya yang bertugas sebagai wartawan. – 9 Oktober, 2019.

Berita penuh di sini.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen