Kakitangan tidak tahu masa depan akhbar Utusan


Alfian Z.M. Tahir

Kakitangan Utusan Melayu mengemas barang mereka selepas syarikat mengumumkan menghentikan operasi hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 9 Oktober, 2019.

LEBIH 800 kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad keliru dengan pengumuman syarikat gulung tikar dan menghentikan operasi kerana pihak pengurusan tidak memberikan sebarang petunjuk mengenai masa depan akhbarnya.

Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan Utusan Melayu (NUJ-UM), Mohd Taufek Razak berkata pengerusi eksekutif Abd Aziz Sheikh Fadzir enggan berbincang dengan mereka sejak kembali menerajui Utusan pada Februari lepas.

“Cara kami dilayan tidak berperikemanusiaan. Notis yang diberikan singkat. Pengurusan atasan boleh saja atur pertemuan awal tetapi mereka pilih untuk layan kami dengan tidak profesional.

“Dalam taklimat hari ini, tiada seorang pun pihak pengurusan atas datang. Pengurus sumber manusia pun tak ada, pengurus kewangan pun tak ada. Eksekutif tak ada.

“Kami hanya diberi taklimat oleh ketua jabatan yang tidak boleh beri jawapan kukuh tentang masa depan. Patutkah kami dilayan macam ini?” tanya Taufek. 

Selepas desas-desus sejak lewat petang semalam Utusan akan ditutup, Aziz hari ini memaklumkan kepada kakitangan keputusan syarikat melalui edaran pekeliling, yang turut dilihat oleh The Malaysian Insight.

Aziz memberitahu hari ini adalah hari akhir mereka bekerja manakala perkhidmatan dihentikan pada 31 Oktober ini.

Mereka juga diminta mengosongkan pejabat dengan mengeluarkan barang peribadi masing-masing sebelum 1 tengah hari tadi.

Keputusan menggulung Utusan dan meletakkannya di bawah pelikuidasi interim dibuat selepas pihak pengurusan gagal menyelesaikan masalah kewangan syarikat, kata Aziz.

Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan Utusan Melayu (NUJ-UM), Mohd Taufek Razak berkata kakitangan dilayan tidak berperikemanusiaan kerana notis pemberhentian operasi syarikat yang singkat. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 9 Oktober, 2019.

FOTO: HARI TERAKHIR DI UTUSAN

Berdasarkan laporan sebelum ini, hutang Utusan dianggarkan dalam lingkungan antara RM240 juta hingga RM340 juta.

Menurut Taufeq, pihaknya sudah beberapa kali cuba bertemu Aziz tetapi pengerusi eksekutif itu kerap menunda pertemuan yang dijanji.

“Kita telefon, kita hantar mesej tetapi setiap kali kita cakap, dia akan beri janji dan kemudian mungkin. Dari satu tarikh ke satu tarikh, dia tangguh-tangguh.

“Bacul… dia enggan bertemu kami untuk berbincang masa depan Utusan. Sebab itu saya kata kami pun keliru. Tak ada penjelasan daripada pengurusan atas,” katanya.

Menurut Taufeq, semua 862 kakitangan diberi cuti sebulan dan diminta datang semula pada akhir Oktober untuk keputusan lanjut.

“Kami bukannya dipecat atau diberhentikan. Kami diberi cuti sebulan oleh syarikat bermula hari ini. Bagaimanapun kami perlu kemaskan barang kerana bangunan ini bukan lagi milik Utusan.

“Kami diminta datang semula untuk taklimat akhir pada 30 Oktober. Pada hari itu kami akan tahu sama ada kami diberhentikan atau menyertai syarikat baru. 

“Setakat ini kami masih kakitangan Utusan cuma kami bercuti,” jelas Taufeq.

Ditanya langkah seterusnya bagi kakitangan, Taufeq berkata sebarang keputusan akan ditentukan selepas taklimat pada 30 Oktober.

Ditanya pula adakah beliau sudah jangka suatu hari Utusan akan tutup, Taufeq mengulangi pendirian NUJ mengenai pemilikan parti politik dalam media.

“Umno sepatutnya lepaskan semua saham dalam Utusan pada hari ia hilang kuasa. Pada tahun 60-an, Utusan mahu jadi bebas dan merdeka. Apa yang jadi hari inilah sebabnya kita hendak bebas dan merdeka. 

“Kalau bebas dari politik, kita akan kekal. Akhbar mesti bebas daripada agenda politik,” katanya. – 9 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen