GOLONGAN pendapatan pertengahan atau M40 kecewa kerana dipinggirkan kerajaan dalam pelaksanaan skim subsidi petrol bersasar yang akan dilaksana bermula Januari depan.
Rata-rata yang ditemui The Malaysian Insight berpendapat dasar itu tidak adil kerana mereka akan dipaksa membayar harga berganda untuk bahan api sedangkan pendapatan masih di paras rendah.
Seorang jurujual yang mahu dikenali dengan nama Hafiz berkata, ia tidak adil kerana terpaksa beli bahan api mengikut harga pasaran semasa sedangkan beban tanggungannya masih tinggi.
“Adakah kerajaan ingat kami ini kaya sangat. Adakah kami ini tidak perlu bayar hutang dan komitmen lain. Kerajaan sekali lagi meminggirkan golongan M40,” katanya.
Jurujual berusia 36 tahun itu kini membelanjakan antara RM10 hingga RM15 sehari untuk petrol RON95, dan beliau bimbang skim subsidi baharu akan menyebabkan perbelanjaannya meningkat.
“Katakan (harga petrol naik) sampai RM2.38 seliter memang berganda perbelanjaan saya, itu belum masuk lagi tol,” katanya.
Beliau juga berpendapat tidak menerima apa-apa manfaat daripada dasar kerajaan baharu semenjak PH mengambil alih pentadbiran negara.
“Kami tidak dapat apa, dahlah BSH pun kami tak layak,” katanya.
Harga petrol RON95 itu akan diapungkan mengikut harga pasaran semasa sebaik sahaja subsidi petrol bersasar itu mula dilaksana pada Januari.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan subsidi itu akan hanya diterima golongan B40 yang menerima Bantuan Sara Hidup (BSH).
Ia akan dibayar empat bulan sekali pada kadar RM48 sebulan bagi pemilik motosikal dan RM120 bagi pemilik kereta di Semenanjung Malaysia.
Mengulas perkara itu, seorang lagi pengguna dari kumpulan M40, Nadia Mohamad, juga berpendapat skim tersebut tidak adil kerana warga di kawasan bandar menanggung kos lebih tinggi.
Oleh itu, subsidi petrol itu patutnya diberi mengikut tempat lebih tinggi di bandar kerana kos sara hidup tinggi dan di luar bandar dikurangkan sedikit.
“Saya rasa itu lagi lebih elok daripada kerajaan bagi ikut pendapatan. Sebab kehidupan di bandarlah paling mencabar semua barang mahal,” kata kakitangan kerajaan berusia 35 tahun itu.
Seorang lagi, kakitangan pentadbiran Khairul Othman berkata subsidi itu tidak sepatutnya dihadkan kepada golongan B40 sahaja kerana mereka turut terbeban.

Khairul, 44, berkata subsidi bersasar itu tidak adil kerana golongan M40 terpaksa menanggung kos bahan api lebih mahal sedangkan mereka sepatutnya turut menikmati manfaat itu.
“Saya rasa tidak adil. Kerajaan selalu ingat golongan M40 ini tidak apa, gaji tinggi tapi kami pun turut bayar cukai.
“Sepatutnya bila satu polisi dibuat kerajaan perlu fikir kebaikan manfaat untuk semua pihak bukan hanya dengan golongan tertentu saja, baru lah ekonomi kita boleh berkembang,” katanya.
Tambah Khairul lagi, beliau tidak mengundi kerajaan PH hanya untuk melihat haknya sebagai rakyat dipinggirkan.
“Mungkin kalau mereka berterusan laksanakan dasar bodoh ini saya tidak akan mengundi PH lagi, ini terlalu mengecewakan,” katanya.
Turut kecewa, Ilham Hamka, 38, yang bertekad untuk tidak lagi menyokong PH dalam PRU15 kerana membantah pelaksanaan skim subsidi baharu itu.
Menurutnya, dasar baharu itu menunjukkan kerajaan tidak mampu menunaikan janji sepertimana usaha untuk menghapuskan bayaran tol.
“Saya sudah serik undi PH, saya rasa kerajaan ini sepenggal, ramai juga rakan-rakan saya pun tidak setuju dengan dasar mereka.
“Dulu kata nak hapus tol lah, nak turun harga minyak lah tapi ini lagi naik,” katanya yang bekerja sendiri.
Seorang lagi pengguna, Micheal Ng, 45, berharap pengguna daripada M40 sepertinya akan tetap mendapat manfaat seperti dalam bentuk rebat sebagai penghargaan kepada pembayar cukai.
“Saya rasa program subsidi itu bagus, sekarang ramai orang susah, minyak mahal tapi alangkah baiknya kalau kerajaan turut memikirkan pendekatan yang boleh beri manfaat kepada kami juga.
“Contoh mungkin bagi rebat kepada kami supaya tidaklah kami rasa kami bayar cukai begitu saja tanpa ada apa pulangan,” kata ahli perniagaan itu. – 9 Oktober, 2019.
Komen
Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Mohammad Fauzi Ismail · Ulasan