Hentikan retorik politik, kata veteran tentera 


Ragananthini Vethasalam

Veteran tentera Kapten (B) Wong Ang Peng berkata, retorik perkauman yang menyemarakkan kebencian dan menimbulkan syak wasangka hanya perkara yang sia-sia.– Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Oktober, 2019.

FOKUS perlu diberikan terhadap isu ekonomi dan bukan menghamburkan retorik politik sebagaimana yang dibangkitkan dalam Kongres Maruah Melayu baru-baru ini, kata bekas tentera, Kapten (B) Dr Wong Ang Peng.

“Pembangunan negara telah terkebelakang dengan Kongres Maruah Melayu ini.

“Ucapan dalam forum berkenaan hanyalah retorik kebanyakannya politik dan bukan intelektual. Dalam politik, seseorang mengatakan sesuatu perkara, namun lain yang dilakukannya,” kata Wong, yang juga pengarah perhubungan awam Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot).

Menurutnya, semua perkara yang dinyatakan pada kongres itu boleh dikatakan bertentangan dengan forum intelektual lain.

“Namun ianya sia-sia. Membina perhubungan dan memupuk persefahaman adalah lebih penting selepas lebih 60 tahun dalam politik perpecahan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau turut mempersoalkan nilai yang diberikan kongres berkenaan kepada masyarakat.

Tambahnya, ia hanya menambahkan kebencian dan syak wasangka.

Wong berkata, apa yang lebih penting sekarang ialah untuk terus bergerak ke hadapan dan bersama-sama mengharungi cabaran ekonomi.

“Kemelesetan boleh berlaku bila-bila masa. Setiap kumpulan etnik tidak mampu bertahan sendiri apabila negara berdepan masalah ekonomi. Kita perlu menyokong antara satu sama lain.

“Kita juga perlu bertindak dan memastikan beban dalam kalangan kumpulan B40 diringankan. Kerajaan perlu berhemah dalam perbelanjaan. Kutipan hasil juga perlu lebih inovatif.”

Kongres anjuran beberapa universiti awam itu menyaksikan lebih 5,000 peserta hadir, termasuk menteri Melayu dan ahli politik Pakatan Harapan dan juga pembangkang. – 7 Oktober, 2019.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen