Guna peluru hidup semasa demo, latihan perkara biasa, kata Patriot


Chan Kok Leong

Seramai 50 veteran tentera dan polis berkongsi pengalaman dengan orang ramai pada majlis anjuran Patriot di Taman Tugu semalam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 9 September, 2019.

PENGGUNAAN peluru hidup oleh anggota komando dalam latihan dan demonstrasi adalah perkara biasa, kata Kapten (B) Dr Wong Ang Peng.

Beliau yang juga ahli Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) berkata ini untuk membiasakan anggota menggunakan peluru hidup ketika berdepan dengan musuh.

Katanya, peluru hidup digunakan untuk membina keyakinan dalam kalangan anggota komando supaya sentiasa bersedia apabila berdepan ancaman sebenar.

“Terutamanya bagi anggota dalam pasukan counter-terrorism kerana mereka sering berdepan dengan ancaman, berbanding anggota tentera lain,” katanya etika ditemui pada satu majlis anjuran Patriot di Taman Tugu di Kuala Lumpur, semalam.

Wong berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kematian Major Mohd Zahir Armaya, 36, yang maut terkena tembakan ketika melakukan demonstrasi di Kem Lok Kawi di Sabah, minggu lepas.

“Major Mohd Zahir pakar dalam counter-terrorism dan seorang penembak tepat. Saya difahamkan anggota yang seorang lagi itu juga seorang penembak tepat dan dia menembak jaket kalis peluru Zahir dan peluru itu tembus.

“Perkara ini sesuatu yang malang bagi tentera dan kita semua kerana kehilangan seorang hero,” kata Wong.

Mohd Zahir dilaporkan memainkan peranan sebagai pengganas bersenjatakan pedang samurai dan pistol. Beliau melepaskan peluru hidup ke arah pasukan Divisyen Kelima Infantri dan Briged ke-13 Infantri, dan tembakannya dibalas oleh seorang anggota komando.

Tembakan tersebut tersasar dan terkena bahagian atas jaket kalis peluru yang dipakainya.

Menurut Wong, pilihan untuk menggunakan peluru hidup adalah peluru kapur adalah keputusan tentera.

“Tiada yang betul atau salah dalam hal ini, kerana ia adalah rutin. Keputusan menggunakan peluru hidup atau tidak, itu terpulang kepada mereka.

“Bagaimanapun, tentera akan jalankan siasatan,” katanya.

Pada majlis anjuran Patriot di Taman Tugu semalam, seramai 50 veteran tentera dan polis berkongsi pengalaman dengan orang ramai.

Orang ramai berpeluang mendengar bekas anggota keselamatan dari pelbagai kaum menceritakan pengalaman mereka mempertahankan negara.

Antara yang berkongsi pengalaman ialah Paul Kiong, 75, yang  pernah berkhidmat dalam pasukan Cawangan Khas ketika menentang Parti Komunis Malaya (PKM) di hutan Perak.

Kiong yang berkhidmat dari 1968 hingga 1998 menerima pingat tertinggi dalam Darjah Kebesaran Angkatan Tentera iaitu Seri Pahlawan Gagah Perkasa pada 1983. 

Turut sama pada majlis itu ialah Lt General Zaini Mohamad Said yang terkenal kerana penglibatannya dalam Ops Subuh menyerbu Al-Ma’unah pada 2000, sehingga ketua kumpulan itu, Mohamed Amin Mohamed Razali menyerah diri.

Zaini dianugerahkan pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa atas perkhidmatannya. – 9 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen